Kapasiti penggunaan industri pembuatan Malaysia lepasi 80% pada suku pertama 2024 - DOSM
herman
21/05/2024 - 12:48
KUALA LUMPUR 21 Mei - Kapasiti penggunaan industri pembuatan mencapai 80.8% pada suku pertama 2024, meningkat sebanyak 1.0 mata peratus berbanding kadar kapasiti 79.8% yang direkodkan pada setahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar kapasiti yang lebih tinggi ini juga mendorong peningkatan 2.1% tahun ke tahun dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi industri pembuatan pada suku berkenaan.
Menurutnya, hampir semua subsektor merekodkan peningkatan kapasiti penggunaan khususnya dalam subsektor produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka; dan produk kayu, perabot, produk kertas & percetakan, yang meningkat masing-masing sebanyak 4.4 mata peratus kepada 83.3% dan 79.6%.
"Perbandingan suku tahun ke suku tahun, kapasiti peggunaan industri pembuatan menaik sebanyak 0.9 mata peratus daripada kadar 79.9% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas Statistik Kapasiti Penggunaan Industri Pembuatan, Malaysia, Suku Pertama 2024 hari ini.

Dr. Mohd. Uzir berkata, peningkatan kadar kapasiti penggunaan pada suku pertama 2024 adalah disumbangkan oleh prestasi bagi Januari (80.9%) dan Mac (81.6%), dengan kedua-dua bulan melepasi 80%.
Kata Ketua Perangkawan Malaysia itu, kadar kapasiti penggunaan pada Februari 2024 pula berada pada 79.8% dengan faktor seperti permintaan yang rendah; bekalan bahan tidak mencukupi; dan pembaikan & penyelenggaraan jentera & peralatan kekal sebagai penyebab utama kepada kapasiti di bawah penggunaan dalam industri Pembuatan.
Sementara itu, menurutnya, pada suku pertama 2024, empat subsektor beroperasi pada kadar kapasiti penggunaan melebihi 80.0% terutamanya subsektor Pembuatan kelengkapan kenderaan & pembuatan lain yang merekodkan kadar kapasiti penggunaan tertinggi pada 85.0% iaitu peningkatan 1.0 mata peratus tahun ke tahun.
"Ini diikuti oleh subsektor Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka, dengan kadar 83.3%, menaik 4.4 mata peratus.
"Sebaliknya, kadar terendah iaitu 78.4% telah direkodkan oleh subsektor iaitu Pembuatan makanan, minuman & tembakau; dan Pembuatan produk elektrik & elektronik,” ujarnya.
Jelas Ketua Perangkawan Malaysia itu, kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport menunjukkan kenaikan pada suku ini, iaitu meningkat 0.1 mata peratus tahun ke tahun kepada 79.4%.

Hampir kesemua industri dalam segmen ini mencatatkan peningkatan kadar penggunaan dengan Pembuatan perabot mengalami lonjakan yang ketara sebanyak 7.7 mata peratus, mencapai 88.0%.
"Namun begitu, empat industri mencatatkan penurunan kapasiti penggunaan, sekaligus mengurangkan peningkatan dalam segmen ini, iaitu Pembuatan kimia & produk kimia (-1.3 mata peratus; 78.7%); Pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-1.1 mata peratus; 77.3%); Pembuatan kelengkapan elektrik (-0.5 mata peratus; 80.5%); dan Pembuatan produk plastik (-0.3 mata peratus; 80.1%)," ujarnya.
Berbanding dengan suku sebelumnya, beliau berkata, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat 0.9 mata peratus berbanding 78.5%.
Selain itu, kata Dr. Mohd Uzir, industri berorientasikan domestik mencatatkan kadar kapasiti penggunaan 83.7% pada suku pertama 2024, berkembang 2.8 mata peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
Ujar beliau, peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pembuatan produk galian bukan logam lain dengan 8.5 mata peratus, mencapai 85.9%.
"Namun begitu, hanya Pembuatan produk prosesan makanan merekodkan penurunan untuk mencatatkan kadar 83.1%. Berbanding suku keempat 2023, industri berorientasikan domestik meningkat 0.8 mata peratus daripada 82.9%," katanya.
Sementara itu, katanya, empat negeri mempamerkan kadar kapasiti penggunaan melepasi paras kadar nasional pada suku pertama 2024, iaitu Labuan (95.9%), Negeri Sembilan (84.9%), Selangor (83.1%) dan Johor (81.0%).
"Hampir kesemua negeri mencatatkan peningkatan tahun ke tahun bagi kadar kapasiti penggunaan kecuali bagi lima negeri iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Sarawak dan WP Kuala Lumpur (termasuk WP Putrajaya).
"Sementara itu, Kelantan merekodkan kadar kapasiti penggunaan terendah pada 69.7 peratus, dipengaruhi terutamanya oleh industri Pembuatan produk makanan,” ujarnya.- DagangNews.com

