Kapasiti tempat duduk Capital A dijangka pulih sepenuhnya pada 2HFY24 dipacu pengecualian visa Malaysia dan China – MIDF Research
diyana
01/12/2023 - 09:29
KUALA LUMPUR 1 Dis - Capital A Berhad dijangka meraih manfaat daripada pengecualian visa Malaysia-China yang akan memulihkan kapasiti tempat duduk laluan China sepenuhnya pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24).
MIDF Research berkata dengan memanfaatkan pengumuman pengecualian visa baru-baru ini untuk rakyat Malaysia dan Thailand, kumpulan terbabit merancang untuk menyesuaikan pertumbuhan kapasitinya bagi China.
"Kapasiti tempat duduk laluan China mencapai kira-kira 60% pada 3QFY23, dan pemulihan penuh dijangka berlaku pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi jangka terdekat pula, firma penyelidikan itu berkata dengan peningkatan kapasiti tempat duduk, faktor muatan diramalkan kekal teguh pada hampir 90% apabila memasuki musim puncak pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).
"Pengaktifan armada penuh (pada mulanya disasarkan pada Disember 2023), menghadapi kelewatan, dan pelan yang disemak kini bertujuan untuk membawa balik 24 pesawat dari simpanan pada 1QFY24,"katanya.
Dari segi kos bahan api, MIDF Research berkata Capital A boleh mendapatkan bantuan, sebahagiannya melalui surcaj bahan api yang berterusan dan tambang penerbangan yang lebih tinggi berbanding sebelum COVID, disebabkan oleh harga yang rasional.
Berbanding 3QFY22, kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) teras kumpulan itu menguncup sebanyak 78.8% tahun ke tahun memandangkan pendapatan kumpulan meningkat lebih dua kali ganda.
Dengan 75% daripada armada beroperasi pada 3QFY23, firma itu berkata kapasiti pulih kepada 73% daripada paras 2019, manakala perjalanan yang mantap mengekalkan faktor muatan 89% (domestik: 94%, antarabangsa: 84%).
Bagaimanapun, firma itu menurunkan unjuran pendapatan Capital A bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 105% selepas mengambil kira peningkatan kos bahan api serta kos penyelenggaraan dan baik pulih.
Firma penyelidikan itu turut membuat penyelarasan kecil kepada pendapatan FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 6% dan 1%.
Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 80 sen sesaham daripada 90 sen sebelumnya, berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY24 yang diselaraskan sebanyak 8 kali.
Pemangkin utama syarikat itu kekal pada potensi pemulihan rangkaian dan kapasiti tempat duduk yang lebih pantas daripada jangkaan ke tahap sebelum COVID.
Setakat pukul 9:27 pagi ini, saham Capital A susut 2.5 sen atau 2.9% kepada 84.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM3.6 bilion. - DagangNews.com



