KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai tentera berpangkat kapten, didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan membunuh pempengaruh, 'Advance Gaming' yang juga warga Bangladesh di Lebuh Raya Maju (MEX) dan dua lagi kes memandu secara mabuk minggu lalu.
Bagi pertuduhan membunuh, Jad Faid Arhan, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia yang memakai baju T berkolar warna merah dan berseluar jeans didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian kepada seorang pencipta kandungan permainan video popular, Muzahid Millad, 22.
Kesalahan didakwa dilakukan di KM 1.9 Lebuh Raya Maju (MEX) dari arah Salak Selatan ke Jalan Tun Razak, jam 5.30 pagi pada 23 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi pertuduhan memandu secara mabuk, lelaki itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa sebagai pemandu kereta jenis Ford Fiesta telah memandu di atas jalan raya di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan dirinya tidak berdaya mengawal kenderaan berkenaan.
Perbuatan berkenaan menyebabkan kecederaan kepada penumpang yang juga isteri Muzahid iaitu Nafisa Tabassum Adiba, 21, dan pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail sementara tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah.
Kedua-dua mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan bunuh termasuk kes yang tidak boleh dijamin.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, polis mengesahkan berlaku kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemalangan menyebabkan seorang penumpang e-hailing maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya mangsa dan pemandu e-hailing cedera parah.






