johardy06/04/2026 - 11:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 April — Ketidakcekapan birokrasi kekal sebagai antara cabaran terbesar yang masih terus menerusi dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, dengan pemain industri menggesa kerajaan mempercepatkan reformasi di peringkat pihak berkuasa tempatan dan pelesenan.
Isu itu merupakan antara kebimbangan struktur utama yang dibangkitkan oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), seiring Menteri Steven Sim Chee Keong yang telah mencapai 100 hari pertama dalam pentadbiran.
Presiden SAMENTA, William Ng berkata, walaupun Steven Sim menunjukkan permulaan yang baik menerusi inisiatif ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’, kekangan struktur masih memberi tekanan besar kepada pertumbuhan PKS.
Kempen tersebut berjaya menyalurkan pembiayaan berjumlah RM2 bilion kepada lebih 88,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam tempoh yang singkat, disifatkan sebagai “pertolongan cemas” dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Bagi intervensi proaktif ini, kami memberi gred ‘A’ kepada Menteri dan Kementerian,” katanya sambil menambah keupayaan menggerakkan jentera kerajaan dengan pantas untuk menyuntik kecairan ke dalam ekosistem PKS amat wajar dipuji.
Namun, Ng menegaskan cabaran sebenar melangkaui aspek pembiayaan.
Mengurangkan birokrasi yang berbelit
Ketidakcekapan peraturan di peringkat pihak berkuasa tempatan dan pelesenan terus menjadi hambatan utama kepada PKS.
Walaupun terdapat pelbagai inisiatif pembaharuan, kemajuan yang dicapai masih tidak sekata dan terlalu perlahan, khususnya dalam persekitaran global yang terkesan oleh gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik.
Beliau menegaskan tindakan yang lebih pantas dan tegas diperlukan untuk memperkemas kelulusan serta mengurangkan beban pematuhan.
Tiga lagi keutamaan struktur yang memerlukan perhatian Kementerian ialah:
1. Meratakan medan persaingan dengan GLC
Kewujudan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam sektor bukan strategik dilihat mengehadkan peluang PKS untuk berkembang dan bersaing secara adil.
Ng menggesa supaya GLC secara berperingkat dikeluarkan daripada sektor runcit dan perkhidmatan bagi membolehkan perusahaan swasta berkembang dalam persekitaran yang lebih kompetitif.
2. Menangani kekangan tenaga kerja
Kekurangan tenaga kerja kekal meruncing, khususnya dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai keterbatasan untuk automasi.
SAMENTA mencadangkan dasar pekerja asing yang lebih fleksibel, termasuk sistem levi bertingkat, bagi membantu PKS memenuhi keperluan operasi.
3. Beralih daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’
Ng turut menggesa peralihan kepada model ekonomi yang menumpukan kepada pembangunan jenama dan harta intelek milik Malaysia.
Beliau memberi amaran Malaysia berisiko kehilangan kelebihan daya saing sekiranya terus ketinggalan berbanding pesaing serantau yang sedang memajukan rantaian nilai.
Katanya, sokongan perlu diperkukuh untuk membangunkan “juara global” dalam kalangan PKS tempatan bagi menembusi pasaran antarabangsa.
Ng menegaskan usaha menangani isu-isu struktur ini akan menjadi ujian sebenar terhadap agenda reformasi kerajaan, ketika PKS terus berdepan landskap ekonomi global yang semakin mencabar. - DagangNews.com
