
KUAH Negombo crab curry pekat, berlemak dengan santan dan tidak terlalu pedas, namun tetap kaya dengan aroma rempah serta kunyit.
Rasa kaya dari Negombo, Sri Lanka itu semakin menyerlah apabila dipadankan dengan isi ketam nipah bersaiz sederhana yang manis dan segar.
Hidangan yang enak dinikmati bersama nasi basmati atau pol roti itu merupakan antara pilihan menu Sri Lanka yang ditawarkan di The Lankan Crab, Bangsar, Kuala Lumpur.
Menurut wakil restoran itu, Marjana Basir, bahan mentah seperti rempah di restoran tersebut diimport dari Sri Lanka, manakala ketam pelbagai saiz pula dibawa masuk dari Indonesia.
“Sri Lanka merupakan negara kepulauan, jadi kami banyak menggunakan kelapa dalam masakan.
“Kami gunakan santan, serbuk kelapa dan kelapa parut dalam pelbagai hidangan, termasuk kari dan sambal.
“Ini sedikit berbeza dengan kari mamak di Malaysia yang lebih menonjolkan penggunaan rempah dan menghasilkan kuah lebih pekat,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Bagi yang kurang menggemari makanan pedas, pilihan garlic butter crab pula boleh menjadi alternatif kerana hidangan itu tidak menggunakan rempah terlalu menyengat.
Ketam tersebut disalut kuah mentega bawang putih yang berkrim, dengan penggunaan mentega masin bagi menghasilkan tekstur kuah lebih kaya dan berkrim.

Sementara itu, menu lamprais pula mengetengahkan hidangan lengkap yang dibungkus menggunakan daun pisang sebelum dikukus.
Di dalamnya, terdapat nasi berwarna kuning yang disertakan kari ayam hitam, kurma kambing, potongan ikan, telur rebus dan goreng, sayur, sambal serta kentang tempe.
Versi vegetarian pula menggunakan ayam vegetarian, potongan sayuran dan sayur sebagai pelengkap.
Penggunaan daun pisang dalam penyediaan lamprais turut memberikan aroma tersendiri apabila bungkusan dibuka sebelum hidangan dinikmati.
Selain itu, kari kepala ikan turut menjadi antara hidangan wajib dicuba, khususnya bagi penggemar lauk berkuah yang kaya dengan rempah.
Kongsi Marjana, beberapa hidangan Sri Lanka yang ditawarkan turut mempunyai tekstur hampir sama dengan masakan yang biasa dinikmati oleh masyarakat Melayu.
“Bagi mereka yang mahukan makanan yang hampir sama dengan masakan Melayu, mereka boleh mencuba mutton paal poriyal yang seakan-akan rendang kering atau kerisik kambing.
“Satu lagi hidangan yang saya cadangkan adalah squid varural, iaitu hidangan sotong yang agak kering tetapi sangat pedas dan berempah,” katanya.
Jelas Marjana, pelanggan disarankan untuk bertanya dahulu tentang kombinasi makanan yang sesuai untuk dicuba agar mereka dapat menikmati hidangan lebih baik.
“Bagi pelanggan yang tidak biasa dengan masakan Sri Lanka, mereka boleh bertanya kepada kami tentang kombinasi makanan sesuai.
“Sebagai contoh, makanan pedas lebih elok dimakan bersama sajian lebih manis,” katanya.
The post Kari ketam nipah tarikan The Lankan Crab appeared first on Kosmo Online.
