'Karikatur sindir PM, Anthony politik tidak matang' - Kor Ming

LocalPolitics
12 Apr 2025 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sepanduk karikatur wajah dipercayai pemimpin negara itu antara mencuri tumpuan pada perarakan kem PN pada hari penamaan calon di Dewan Merdeka, Tapah pada Sabtu. (Gambar kecil: Kor Ming)

image is not available
Kelihatan penyokong PN memegang sepanduk berbentuk emoji ketawa pada perarakan ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka, Tapah pada Sabtu.

TAPAH - Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) menggunakan sepanduk karikatur pada perarakan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada Sabtu mencerminkan pendekatan politik tidak matang.

Menurut Kor Ming, sindiran menerusi karikatur wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook itu tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara.

Tambah beliau, ia cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar yang perlu kerajaan atasi bersama antaranya perang tarif Trump.

"Sebagai parti politik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, kita percaya bahawa perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan.

"Dan bukannya mempermainkan individu dengan cara yang kebudak-budakan serta memperalatkan agama dan kaum sebagai modal murahan," katanya.

**media[3081612]**

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, negara memerlukan politik yang membina dan bukan membinasakan.

"Pakatan Harapan komited dan cakna untuk memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional dalam PRK Ayer Kuning.

"Ia bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan pembangunan negeri Perak selaras dengan wawasan Perak Sejahtera 2030," katanya.

Terdahulu, penyokong PN dilihat memegang sepanduk karikatur wajah dipercayai kedua-dua pemimpin negara itu dan emoji ketawa ketika mengiringi calon, Abd Muhaimin Malek ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka di sini.