
Abdul Karim Rahman Hamzah berkata melawat gereja tidak akan menyebabkan orang ramai menukar agama mereka
Tak Salah Melawat Rumah Ibadat, Bukan Bermaksud Terus ‘Convert‘. Menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah menyuarakan pendapat mengenai kunjungan ke rumah ibadat berlainan agama.
Menurutnya, mengunjungi gereja atau kuil tidak akan menjadikan seseorang itu menukar agama dan kepercayaan mereka.
Sukar untuk menukar agama, bukan sesuatu yang mudah
Dalam pada itu, Karim berkata, melawat rumah ibadat agama lain tidak akan menjadi masalah di Sarawak kerana kebanyakan rakyat Sarawak bersekolah di sekolah mubaligh (missionary schools), termasuk dirinya sendiri.

“Saya belajar Bible untuk Peperiksaan Senior Cambridge saya. Ia adalah salah satu mata pelajaran yang saya ambil,” jelasnya menerusi laporan.
Tambahnya, orang Islam tidak mudah untuk menukar agama mereka dengan hanya melawat gereja sahaja. Ia bukanlah semudah yang disangka.
Pendapat mengenai program “Jom Ziarah Gereja”
Karim turut mengulas serangan baru-baru ini terhadap menteri belia dan sukan, Hannah Yeoh atas penglibatan dalam program “Jom Ziarah Gereja”.

Bahkan, Karim menyifatkan niat Yeoh itu baik kerana baginya mungkin Yeoh cuba menjadikan rakyat Malaysia lebih harmoni dan bertolak ansur antara satu sama lain.
Perkongsian mengunjungi gereja di Sarawak menjadi tular
Sementara itu, satu hantaran tular di Twitter mengenai Pusat Penerangan Islam Sarawak berkongsi gambar rakyat Sarawak yang berlainan agama pergi melawat gereja dan rumah ibadat yang lain. Insiden itu dipercayai berlaku pada 2016, tetapi gambar itu dimuat naik semula oleh pengguna Twitter dan menjadi viral.
Meanwhile in Sarawak, the Islamic Information centre of Sarawak, shares these photos. pic.twitter.com/SdWp6ZJLL7
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet dari Semenanjung memuji keharmonian yang berlaku di Sarawak. Malah, rakyat Sarawak berbangga dengan usaha memupuk keharmonian dan pegangan agama masing-masing.




