Karnival Anak Warisan Simpan SSPN 2025 Semai Budaya Menabung Komuniti Setempat

LocalFamily & Parenting
2 Sep 2025 • 11:21 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Karnival Anak Warisan Simpan SSPN 2025 Semai Budaya Menabung Komuniti Setempat

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada hari ini telah melancarkan Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) 2025 bertempat di Kompleks Karamunsing Kota Kinabalu, Sabah. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Hjh. Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBhg. Datuk Seri Abdul Razak bin Jaafar, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN dan YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.

Karnival KAWAN menggambarkan peranan anak-anak sebagai pewaris masa depan negara. PTPTN ingin menanam kesedaran bahawa pendidikan dan nilai murni yang diterapkan sejak kecil merupakan warisan paling berharga untuk generasi akan datang. Melalui aktiviti komuniti dan kekeluargaan dalam karnival ini, PTPTN ingin menyemai semangat warisan nilai murni seperti amalan berjimat cermat melalui penabungan serta keutuhan institusi keluarga sebagai asas kepada pembinaan generasi MADANI yang berdaya tahan dan harmoni.

image is not available

Karnival KAWAN merupakan sebuah acara berskala nasional yang dianjurkan PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan tinggi (KPT) secara serentak pada hari ini melibatkan 14 negeri di seluruh negara. Karnival ini juga merupakan kerjasama antara PTPTN dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, agensi kerajaan dan swasta serta pihak sekolah. Manakala keutamaan pelaksanaan program adalah melibatkan sekolah rendah yang menyertai Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP).

Karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Sajak, Syair dan Seloka, Pertandingan Action Song Simpan SSPN serta Pertandingan Kebudayaan yang mengangkat tema “Warisan”. Melalui aktiviti ini, KAWAN bukan sahaja memupuk semangat kreativiti, semarak budaya dan memartabatkan warisan seni serta budaya bangsa malah berperanan penting dalam usaha menyemai budaya menabung dalam kalangan masyarakat.

Penabungan melalui Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif dan patuh syariah. Dengan ciri-ciri istimewa ini, Simpan SSPN tidak sekadar tabung pendidikan, malah menjadi instrumen simpanan yang dijamin Kerajaan dan bermanfaat untuk seisi keluarga.

image is not available

Sebagai sebahagian daripada aktiviti komuniti dan inisiatif gaya hidup sihat, Program Larian PTPTN Dan Komuniti Sabah 2025 turut diadakan pada hari yang sama bertempat di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, Sabah. Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik sebelum pelepasan peserta larian yang disempurnakan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi. Larian yang melibatkan penglibatan wakil-wakil kementerian, rakan strategik, para mahasiswa dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), pelajar sekolah, pemimpin setempat ini berjaya menarik penyertaan seramai 1,000 orang peserta dari pelbagai lapisan umur.

KPT dan PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman selain mewar-warkan berkenaan peranan PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan utama negara.