HULU LANGAT, 29 SEPT: Karnival Kesihatan Madani di Dewan Serbaguna Bandar Teknologi Kajang di sini, hari ini berlangsung meriah dengan lebih 500 penduduk hadir.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata menerusinya pengunjung boleh menjalani saringan kesihatan percuma selain berpeluang mengikuti pelbagai acara menarik.

“Selain saringan kesihatan percuma program turut menyediakan pemeriksaan gigi, telinga dan mata tanpa bayaran. Aktiviti menarik lain pertandingan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah dan pameran agensi kerajaan.
“Pusat Khidmat Parlimen Bangi dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal menyambut baik program anjuran Poliklinik An-Nur dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan. Hadir sama EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin.

Sementara itu, pengunjung Mohd Asrul Ibrahim, 38, berkata saringan kesihatan percuma memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah (B40) memandangkan kos di luar yang tinggi.

“Saya ambil peluang jalani saringan dan diberi tahu kolestrol agak tinggi, jadi saya dinasihatkan untuk menjaga pemakanan selepas ini.
“Saya harap program seumpama ini diteruskan agar lebih ramai rakyat terima manfaat dan cakna tentang kesihatan diri,” katanya

Sementara itu, pengunjung,Wan Rohana Wan Mustapha, 28, pula berkata karnival ini mendidik masyarakat untuk cakna tentang kepentingan menjaga kesihatan.
“Saya baru sahaja bersalin, jadi ambil peluang bersama keluarga di hujung minggu untuk buat pemeriksaan melihat perkembangan kesihatan terkini,” kongsinya.

The post Karnival Kesihatan Madani di Kajang meriah, lebih 500 penduduk hadir appeared first on Selangorkini.



