Karya Habsah Hassan Diangkat Dalam Drama Audio ‘Malam Pengantin’ 

27 Mar 2023 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Habsah (kiri) menganggap ia satu penghormatan buat dirinya apabila pihak Astro sanggup berkolaborasi dengan pihak DBP untuk menghasilkan drama  audio podcast tersebut. - Gambar Rocketfuel Entertainment

Tren podcast semakin menjadi popular dalam kalangan industri hiburan tanah air sehingga ia turut menawarkan terbitan drama dalam bentuk audio.

Terbaharu, Astro Radio bakal mempersembahkan siri drama audio ‘Malam Pengantin’ yang akan menyertai koleksi drama audio dan podcast di aplikasi SYOK.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio dan Rocketfuel Entertainment Kenny Ong, drama audio atau drama menerusi podcast ini, memberi peluang kepada pengkarya tempatan untuk terus hidup di medium digital dan elektronik, selain halaman buku dan arus perdana.

image is not available
Kenny Ong - Gambar Rocketfuel Entertainment

“Audio siar atau podcast merupakan penerbitan alternatif dalam bentuk audio yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat kita khususnya di aplikasi SYOK. 

“Justeru itu, kami teruja mempersembahkan siri drama audio ‘Malam Pengantin’ yang akan menyertai 280 koleksi drama audio dan podcast kami di SYOK. 

“Malah menerusi drama audio ini juga, kami membina peluang untuk artis-artis tempatan melebarkan sayap mereka menerusi hiburan digital dan elektronik terutamanya podcast audio,” katanya.

Kenny berkata demikian ketika majlis pelancaran sidang media drama audio ‘Malam Pengantin’ di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, baru-baru ini. 

Tambah Kenny lagi, pihaknya turut berasa teruja kerana  berpeluang bekerjasama dengan lebih ramai lagi rakan kongsi tempatan dan serantau untuk menonjolkan lebih banyak hiburan dan bakat baharu menerusi platform SYOK.

“Kami komited untuk terus menghasilkan pelbagai kandungan yang menarik dan bermanfaat agar sentiasa kekal relevan di samping menjadikan SYOK sebagai pilihan masyarakat sebagai destinasi radio, muzik dan khususnya podcast ,” ujarnya. 

Selain daripada siri drama audio ini, aplikasi SYOK turut memaparkan seleksi hiburan audio tempatan yang pelbagai untuk pilihan ramai.

Drama audio ‘Malam Pengantin’ merupakan adaptasi daripada naskah ‘Pulang Gadisku Pulang’ karya Datuk Habsah Hassan.

Sementara itu, Habsah Hassan yang merupakan penulis lirik lagu lagenda tempatan berkata, dia menganggap ini adalah satu penghormatan buat dirinya apabila pihak Astro sanggup berkolaborasi dengan pihak DBP untuk menghasilkan drama  audio podcast tersebut.

“Disebabkan projek audio podcast ini melibatkan kolaborasi dengan pihak DBP, maka bahasa yang  digunakan dalam drama nih adalah bahasa baku dan bukannya bahasa pasar dan ia juga sebenarnya adalah sebuah karya lama dan dramanya (Pulang Gadisku Pulang) pernah dihasilkan sebelum ini ,” katanya. 

image is not available
Majlis pelancaran sidang media drama audio ‘Malam Pengantin’ di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, baru-baru ini. - Gambar Rocketfuel Entertainment

Siri drama audio ‘Malam Pengantin’ yang mengandungi  lima episod  ini menggunakan lakonan suara bakat-bakat tempatan termasuk Hafreez Adam, Syainie Shuhaimi, Alyssa Azmi, Rosie Haslinda dan Syazwan Shuhaimi. 

Skrip drama audio ini pula ditulis Habsah Hassan serta mendapat bantuan  nasihat dari sudut bahasa serta penceritaan daripada  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

Istimewanya, ‘Malam Pengantin’ merupakan drama audio tempatan pertama yang dilengkapi runut bunyi asal bertajuk ‘Cinta Tak Mengerti’, nyanyian Syazwan Shuhaimi, pelantun baharu industri muzik tempatan di bawah label Rocketfuel Entertainment.

‘Malam Pengantin’ membawa kisah Faridah (Syainie) dan Bahrin (Hafreez), merupakan pasangan bercinta yang ditakdirkan untuk mendirikan rumah tangga bersama. 

Namun, pasangan ini dilanda dugaan apabila keduanya terlibat dalam kemalangan, di hari pertama percutian bulan madu. 

Natijah daripada kemalangan itu, Faridah perlu menerima takdir apabila kehilangan anggota kaki dan merasakan dirinya beban kepada Bahrin. 

Demi mencari kebahagiaan buat sang suami, Faridah mendesak Bahrin untuk mengahwini rakan karibnya Rokiah (Alyssa) agar kebahagiaan Bahrin dapat dikecapi sungguhpun Faridah perlu mengorbankan perasaan dan cintanya. 

Episod-episod baharu ‘Malam Pengantin’ akan disiarkan setiap Rabu, jam 10 pagi bermual 29 Mac menerusi aplikasi dan laman web SYOK. – Getaran, 27 Mac 2023

View Original Article