
Ada satu perkara yang Cik Bunga dengar-dengar sejak kebelakangan ini mengenai juara program realiti Big Stage Rocketfuel, Hussain Jamilul Hayat. Katanya, setiap kali tiba masa untuk sesi temu bual bersama pihak media, perkataan yang sering kedengaran adalah penat!
Penatlah, letihlah, tidak laratlah. Begitu kononnya cerita. Cik Bunga tidak mahu menuduh Hussain sengaja mengelak media kerana Cik Bunga sendiri tidak berada di setiap kejadian yang dikatakan itu. Namun, kalau benar perkara sebegitu berlaku berulang kali, rasanya Hussain perlu melihat semula perkara itu dengan lebih serius.
Maklumlah dik, menjadi anak seni ini bukan sekadar berdiri di atas pentas, menyanyi, menerima tepukan dan menggenggam trofi kemenangan. Ada satu lagi ‘kerja’ yang datang bersama pakej seorang artis iaitu berdepan dengan media dan menjaga hubungan dengan pihak yang membuat liputan mengenai kerjaya kita.
Cik Bunga juga terdengar cerita, ketika program berlangsung, ada beberapa keadaan Hussain dikatakan cuba mengelak daripada ditemu bual dengan alasan keletihan.
Malah ketika malam final pun, kononnya ada yang terdengar Hussain tidak begitu berminat untuk ditemu bual kerana alasan yang sama sebelum dipujuk produksi program.
Kalau benar, Cik Bunga tertanya-tanya juga.Bukankah malam final itu sepatutnya antara detik paling bermakna dalam perjalanan seorang peserta? Apatah lagi Hussain muncul sebagai pemenang. Media tentunya mahu mendapatkan reaksi, perasaan dan cerita daripada juara. Bukan mahu menyusahkan, jauh sekali mahu menganiaya.
Tambahan pula, difahamkan media bukanlah mahu menemu bual semua pemenang program realiti secara berlebihan sehingga tidak memberikan ruang untuk bernafas. Biasanya selepas kemenangan, media cuma mahu mendapatkan sedikit reaksi dan berkongsi kegembiraan seorang juara dengan pembaca.
Jadi, kalau ketika saat begitu pun terasa terlalu memenatkan untuk melayan media, Cik Bunga fikir Hussain perlu bertanya kepada diri sendiri: Kalau begini caranya, bagaimana mahu mengurus dunia seni yang jauh lebih mencabar selepas ini?
Cik Bunga tegur bukan sebab mahu mencari gaduh. Ini teguran sayang. Kalau serba-serbi tidak mahu, serba-serbi dirasakan melelahkan, mungkin perlu difikirkan semula kesesuaian dengan kehidupan sebagai artis.
Sebab dunia hiburan ini dan publisiti ibarat perahu dengan kemudi. Tidak boleh satu sahaja ada, yang satu lagi mahu dibuang. Kalau tidak suka publisiti, boleh sahaja memilih kerjaya lain. Jadilah peladang, misalnya. Tetapi zaman sekarang pun peladang perlukan publisiti untuk memasarkan hasil tanaman. Kerani juga ada komunikasi dan perlu berdepan dengan orang.
Apatah lagi artis.Artis hidupnya memang dekat dengan perhatian. Media pula menjadi salah satu jambatan antara artis dengan peminat. Tidak semua temu bual akan menghasilkan soalan yang menyenangkan hati. Tidak semua tajuk berita akan berbunyi seperti yang kita mahu. Tetapi itulah sebahagian daripada perjalanan menjadi figura awam.
The post Kasihan Hussain asyik kepenatan appeared first on Utusan Malaysia.






