Ayah telah pergi meninggalkan aku selamanya sejak 7 September 2019. Selama ayah hidup, perbualan aku dan ayah sarat dengan pesanan tersurat lagi tersirat. Aku menuruti seadanya tanpa berfikir panjang. Tiada sekali aku membantah apatah lagi mendurhakainya. Akalku seakan diperintah dengan kenyataan bahawa ayah lebih makan garam di dalam kehidupannya. Aku tidak berani menentang ayah kerana aku sedar bahawa aku masih mentah dalam melalui liku-liku kehidupan.
Pada tahun 1993, tatkala aku berkira-kira menyambung pelajaran selepas SPM, aku menyatakan hasrat kepada ayah untuk mendaftar kursus kewartawanan. Aku minat menghasilkan kandungan berita dengan seni penceritaan dalam pelbagai sudut politik, sejarah, undang-undang, bahasa atau kesusasteraan. Ayah hanya terdiam seketika seakan mengamati niat aku tanpa menolak kecenderungan anak perempuan sulungnya.
Seraya itu ayah berkata, “Jurusan undang-undang lebih baik memandangkan keputusan SPM kamu cemerlang dan layak menempatkan kamu di dalam bidang itu. Habis mengaji nanti kalau dicampakkan ke mana-mana kerja pun, kamu boleh hidup.”
Fikiranku terus mengaitkan peribahasa Melayu – benih yang baik, dibuang ke laut menjadi pulau. Tidakku sangkal kebenaran ini.
Ayah melihat masa depanku yang masih panjang dan aku cuma bergantung kepada keinginan diri. Aku tahu apa yang dibuat pada hari ini sebagai penentu hala tuju keesokkan hari. Ia seperti manfaat jangka masa panjang. Secara harfiah, melabur untuk mendapatkan keuntungan walaupun berisiko, dengan teknik yang betul boleh mengelakkan kerugian.
Lalu ayah menyambung lagi, “masa kerja tak menentu. Lagi-lagi kamu perempuan ada keluarga yang nak dijaga.”
Seperti perumpamaan – tak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Ayah tidak memaksa aku dalam membuat keputusan.
Mengimbau kembali sebagai graduan undang-undang, aku tidak pernah menyesali jerih payah dalam menyusuli perjalanan roda kehidupan bahkan berusaha meluaskan lagi pengalaman demi memberi sumbangan kepada masyarakat walau sekecil zarah pun tanpa mengharapkan sebarang pengikhtirafan.
Seusai kejayaan menggengam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, kehidupan berumahtangga adalah impian setiap wanita. Ia menjadi pelengkap sebuah cita-cita.
Mendapat restu ayah tentang bakal suami akan menjemput rahmat dan kebahagiaan dalam hubungan berpanjangan.
Namun, rasa gusar dan gelisah menyelubungi diri. Bagaimana kalau ayah menolak pilihan aku dan tidak menepati citarasanya. Atau pilihan aku tidak cukup sempurna untuk mengambil peranan gelaran seorang suami. Atau pilihan aku ada cacat cela dari pandangan seorang ayah yang mahukan hidup anak perempuannya terjamin di masa depan.
Semua persoalan aku terjawab. Ayah menatapi sekeping foto dengan seribu soalan. Aku seolah-olah sedang menghadapi temuduga.
Dimulai dengan apa pekerjaan, berapa gaji bulanan, di mana nak tinggal, siapa keluarga suami dan ternyata suamiku telah lulus cemerlang sebagai calon. Dia adalah seorang ‘green flag’ di dalam semua kotak soalan ayah.
Hatiku menjerit keriangan. Tidak sia-sia ayahku menyoal siasat demi satu kepastian bahawa suamiku kini sesuai menjalankan tanggungjawab dan peranannya selama 27 tahun perkahwinan kami dengan izin Allah SWT jua.
Ayah tidak bermaksud menyusahkan proses berumahtangga tetapi telah menghadiahkan aku pembelajaran tentang berkahwin mengikat satu komitmen di antara pasangan. Dasar yang kukuh di dalam sebuah perkahwinan adalah setiap pasangan memainkan peranan masing-masing dan memikul tanggungjawab dengan penuh kepercayaan serta tidak lalai menunaikan amanah tersebut.
Malahan, tiada rumahtangga yang tidak diduga kesulitan. Keharmonian dicabar bagi mencapai titik kesefahaman untuk mengecapi nikmat mengapa kita diciptakan berpasangan melainkan untuk saling melengkapi, menyempurnakan dan memberikan ketenangan.
Tidak terhenti dengan proses soal jawab, persiapan kenduri perkahwinan juga telah meninggalkan satu kesan besar kepadaku untuk seumur hidup. Tentang hal remeh-temeh jangan dipandang enteng. Memandang berat hal-hal yang wajib di sisi Islam dan tidak mengundang fitnah yang boleh menjejaskan pandangan orang terhadap maruah diri.
Aku mahu membuat pelamin dengan niat untuk bergambar pengantin nanti. Dalam Islam, pelamin bukanlah satu perkara wajib dan ia hanya dikaitkan dengan adat bersanding. Lazimnya bersanding adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin.
Berbalik kepada hukum Islam, ayahku lantang menasihati aku bahawa haram lelaki lain yang hadir melihat wanita dalam keadaan dipertontonkan walaupun bukan tujuan syahwat tetapi percampuran lelaki dan wanita berlaku di dalam majlis kenduri.
Ayahku menegaskan bahawa tiada keperluan untukku membuat pelamin. Setakat tujuan bergambar, suasana kenduri pun mencukupi sebagai latarbelakang bergambar. Kata ayahku lagi, kenduri kahwin dalam Islam adalah untuk mengumumkan perkahwinan sebagai tanda kesyukuran sambil meraikan para tetamu, bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Sedih bukan kepalang apabila kemahuan aku tidak selari dengan hukum. Bukanlah niatku untuk melanggar hukum yang terang lagi jelas. Ayahku takut menjadi fitnah kepada aku seolah-olah dia sebagai ayah berstatuskan seorang ustaz yang arif halal haram dalam Islam gagal berbuat demikian terhadap aku.
Selain itu, ayah juga tidak menekan-nekan pihak suami dalam adat memberi wang hantaran kahwin yang dianggap simbolik penghargaan lelaki kepada keluarga wanita mengikut kemampuan bakal suami.
Ayah siap memperingatkan aku untuk jimat berbelanja dalam menyiapkan barang hantaran semasa perkahwinan. Ia sekadar memenuhi adat tradisi berbalas memberikan barangan keperluan peribadi di antara pasangan. Nasihat ayah, membazir mencerminkan rasa tidak syukur.
Aku menerima nasihat dengan hati terbuka dan bersyukur semua pesan ayah kuturuti. Selagi mana hukum tidak diingkari, selagi itu rahmat dan keberkatan melimpahi hidup. Keutamaan seorang Muslim adalah memilih gaya hidup yang berlandaskan prinsip Islam dan tidak mencampur-adukkan adat yang bercanggahan dengan hal-hal rukun.
Sepanjang aku membesar, ayah bersifat tegas dalam ajaran agama dan moral. Ayah telah menjadi contoh teladan dalam membentuk personaliti aku pada hari ini yang tajam daya pemerhatian, kebolehan menaakul dan berdisiplin tinggi. Kasih ayah tidak terhingga bagaikan menatang aku dengan minyak penuh dan didikannya berjaya bak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Ada kisah ayah-anak yang bermakna? Kongsikan dengan #KasihAyah dan berpeluang memenangi TnG eMAS, baucar Shopee, serta hadiah bernilai sehingga RM3,500! Ketahui cara penyertaan di sini. Tertakluk pada T&S.
Ana Muzi (mzpenakarya210821@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
