Kaspersky beri amaran AI diserapi anasir penggodam, serangan siber semakin canggih

15/08/2025 - 16:18
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Ogos – Organisasi dan individu di rantau Asia Pasifik dinasihatkan bersiap sedia menghadapi serangan siber yang lebih canggih dan licik ekoran peningkatan penggunaan Dark Artificial Intelligence (AI), menurut pakar keselamatan siber global Kaspersky.
Dark AI merujuk kepada penggunaan model bahasa besar (LLM) yang tidak dikawal dalam sistem chatbot atau kerangka tertentu bagi tujuan jahat dan tidak beretika atau tidak dibenarkan.
Sistem itu beroperasi di luar kawalan keselamatan, pematuhan dan tadbir urus standard yang menimbulkan risiko penipuan, manipulasi, serangan siber atau penyalahgunaan data tanpa pengawasan.
Ketua Pasukan Penyelidikan dan Analisis Global Analysis (GReAT) Kaspersky untuk META dan APAC, Sergey Lozhkin berkata, sejak ChatGPT mendapat sambutan luar biasa pada 2023, pelbagai aplikasi bermanfaat AI telah digunakan.
“Kewujudannya sangat penting untuk melakukan pelbagai tugasan daripada menghasilkan video hingga mengsan analisis ancaman teknikal.
“Namun, dalam masa sama, terdapat pihak berniat jahat yang turut menggunakannya untuk meningkatkan keupayaan serangan mereka.
“Kita telah memasuki era keselamatan di mana AI menjadi perisai dan Dark AI pula pedangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya AI adalah hasil ciptaan manusia yang tidak memahami hakikat kebenaran atau kepalsuan, sebaliknya ia hanya menjalankan tugasan mengikut arahan.
“Berdasarkan pemerhatian Kaspersky, banyak organisasi termasuk jabatan kerajaan, swasta dan pelbagai entiti lain menggunakan LLM dalam operasi mereka ketika ini.
“Justeru, kami menasihatkan agar organisasi dan individu di Asia Pasifik memperkukuhkan aspek keselamatan siber, melabur dalam pengesanan ancaman berasaskan AI dan memahami bagaimana teknologi itu boleh dieksploitasi,” katanya.
Dark AI menggunakan strategi dengan mencipta banyak penyamaran, identiti rekaan palsu dan menghasilkan kandungan pelbagai bahasa bagi menipu mangsa.
Bagi membantu organisasi mempertahankan diri daripada ancaman Dark AI dan siber berasaskan AI, pakar Kaspersky itu mencadangkan agar organisasi dan individu menggunakan penyelesaian keselamatan generasi baharu seperti Kaspersky Next untuk mengesan perisian jahat berasaskan AI.
Selain itu, beliau juga mencadangkan penggunaan alat perisikan ancaman masa nyata bagi memantau eksploitasi berasaskan AI.
“Hadkan kawalan akses dan latih pekerja bagi mengurangkan risiko dari Shadow AI dan kebocoran data.
“Penubuhan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) untuk pemantauan ancaman dan tindak balas segera juga dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan siber,” katanya.
Kaspersky yang ditubuhkan pada 1997, kini melindungi lebih satu bilion peranti di seluruh dunia, menyediakan kepakaran keselamatan siber dan penyelesaian inovatif bagi individu, perusahaan, infrastruktur kritikal dan kerajaan.- DagangNews.com
standard




