Kaspersky sedia terkenal sebagai penyedia perkhidmatan dan perisian keselamatan serta sekuriti. Tidak setakat itu, kini mereka mempelbagaikan lagi penawaran, dan turut hadir dengan penawaran baharu dinamakan Kaspersky eSIM Store.

Seperti pada namanya, melalui Kaspersky eSIM Store, pengguna boleh mengakses dan membeli sejumlah perkhidmatan telekomunikasi di dunia, dan menggunakan pada peranti yang disokong melalui teknologi eSIM. Pada hari ini, ia menyediakan penawaran untuk lebih 150 buah negara, dengan pilihan lebih 2000 pelan data berbeza.
Penawaran ini adalah termasuk untuk mereka yang berkunjung ke Malaysia, dan ingin mendapatkan pelan akses data.
Di Malaysia, terdapat beberapa perkhidmatan yang lebih kurang sama, termasuk pihak Touch n Go eWallet sendiri sedia menawarkannya melalui aplikasi dompet digital mereka. Bagi anda yang sering ke luar negara, boleh menyemak dan membandingkan penawaran pelbagai pihak, termasuk melalui laman rasmi Kaspersky eSIM Store.

