liza29/07/2026 - 11:04 Pelabuhan Tanjung Langsat Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa memberikan penjelasan rasmi mengenai pelaksanaan prosedur K8 selepas kargo petroleum dipunggah ke tangki simpanan bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan operasi perdagangan di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, pemain industri memerlukan penjelasan yang tepat mengenai prosedur tersebut, khususnya berkaitan status dan pengendalian kargo petroleum selepas memasuki sistem tangki simpanan.
Beliau berkata, antara perkara yang perlu diperjelaskan dengan terperinci ialah sama ada kargo yang telah diisytiharkan di bawah K8 perlu terus diasingkan sepanjang tempoh penyimpanan serta bagaimana pemantauan dilakukan selepas proses pemunggahan.
Jeyenderan berkata, beliau telah menghantar e-mel rasmi kepada Ketua Pengarah Kastam bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu sebelum hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa untuk memaklumkan perkembangan terkini.
Tindakan itu susulan laporan kepada SPRM sebelum ini berhubung dakwaan percanggahan antara dokumen bil muatan dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di sebuah terminal di Pelabuhan Tanjung Langsat.
Mekanisme pemantauan kargo
Jeyenderan berkata, pihaknya turut meminta JKDM menjelaskan kaedah pemantauan bagi memastikan rekod dokumentasi perdagangan selaras dengan pergerakan fizikal kargo di terminal.
“Penjelasan itu diperlukan bagi memastikan kargo petroleum yang dieksport semula benar-benar sepadan dengan deklarasi asal yang dibuat kepada pihak berkuasa.
"Apa yang saya perlukan ialah kepastian mengenai pelaksanaan prosedur K8 selepas kargo petroleum dipunggah ke dalam tangki simpanan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya tidak membuat sebarang tuduhan terhadap JKDM atau mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu mendapatkan panduan rasmi supaya industri dapat mematuhi prosedur ditetapkan.
Katanya, persoalan mengenai tatacara pelaksanaan prosedur itu memberi kesan kepada operasi harian industri termasuk urusan penghantaran kargo, dokumentasi perdagangan, pembiayaan, insurans dan pematuhan kawal selia.
Kepastian terhadap prosedur penting kekalkan keyakinan industri
Jeyenderan berkata, sebarang kelewatan mendapatkan penjelasan boleh memberi implikasi kepada urusan perniagaan kerana pemain industri memerlukan prosedur yang jelas untuk menjalankan operasi.
Beliau berkata, Malaysia kini berusaha memperkukuh kedudukan sebagai hab penyimpanan dan pemindahan petroleum serantau, justeru aspek kawal selia perlu dipastikan jelas dan konsisten.
Katanya, jika prosedur sedia ada membenarkan amalan tertentu, perkara itu perlu dijelaskan secara rasmi, manakala sebarang ruang penambahbaikan wajar diteliti bagi memperkukuh tadbir urus sistem.
Beliau berharap JKDM dapat memberikan maklum balas terhadap semua persoalan yang dikemukakan bagi mengelakkan perbezaan tafsiran mengenai pelaksanaan deklarasi K8.
“Penjelasan tersebut bukan sahaja penting kepada pemain industri petroleum, malah membantu meningkatkan keyakinan terhadap sistem kawal selia negara serta mengekalkan reputasi Malaysia sebagai hab perdagangan petroleum dan logistik maritim di peringkat antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com



