Kastam P.Pinang patahkan cubaan seludup mercun, barangan elektrik

18 Jan 2023 • 1:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mematahkan cubaan seludup mercun, bunga api dan pelbagai barangan elektrik bernilai hampir RM1 juta termasuk cukai dalam siri serbuan serta pemeriksaan di sekitar negeri itu, baru-baru ini.

Pengarahnya Hamisan Kalib berkata, dalam serbuan pertama ke atas sebuah premis perniagaan di George Town pada 4.30 pagi 9 Jan lepas, pihaknya telah menahan tiga lelaki warga tempatan yang sedang memunggah dagangan daripada sebuah lori.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 463 kotak atau 1,647.37 kilogram (kg) mercun dan bunga api bernilai RM87,010 membabitkan cukai RM56,556.50, yang disyaki dibawa masuk dari Thailand menggunakan jalan laut ke negeri ini.

“Tiga lelaki berusia 30 hingga 42 tahun yang merupakan pekerja sindiket itu ditahan untuk siasatan lanjut dan dipercayai semua mercun serta bunga api tersebut untuk pasaran di sekitar negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina nanti,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam serbuan kedua, seorang wanita berusia 34 tahun telah ditahan dan pihaknya merampas 510 unit dapur memasak elektrik bernilai RM473,222 termasuk cukai dalam sebuah kontena dari China di Pengkalan Kontena Butterworth Utara pada 11 pagi, 10 Jan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kontena itu diimport oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Pasir Mas, Kelantan dan menahan suspek yang juga pengurus syarikat tersebut, bagi membantu siasatan.

Hamisah berkata modus operandi digunakan adalah membuat pengiktirafan palsu iaitu mengikrar dagangan sebagai lima bahagian berbeza dapur memasak elektrik yang belum siap pasang dengan item-item diikrarkan itu mendapat manfaat daripada pengecualian cukai penuh dan tidak memerlukan lesen import.

“Berdasarkan siasatan, syarikat itu beberapa kali telah mengimport barang-barang dari China sejak tahun lepas namun pertama kali ditahan kerana kesalahan tersebut,“ katanya.

Sementara itu, Hamisah berkata pada 16 Dis lepas, pihaknya telah merampas 129 unit skuter elektrik bernilai RM368,940 termasuk cukai dalam pemeriksaan ke atas dua buah kontena di Pengkalan Kontena Butterworth Utara.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kontena tersebut diimport oleh sebuah syarikat di Sungai Petani, Kedah dan semua skuter elektrik itu dibawa masuk dari China untuk pasaran tempatan.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 54 tahun bagi membantu siasatan dan syarikat itu telah membuat pengikraran palsu iaitu mengikrar dagangan sebagai skuter elektrik yang belum dipasang dengan item-item tersebut mendapat pengecualian cukai penuh,“ katanya.

Kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 133 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967, katanya. -Bernama