
10 kontena minuman keras telah pun dirampas
Kastam Rampas 22 Ribu Karton Minuman Keras Pelbagai Jenama Di Mukah. Sebanyak 22,000 karton minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai kastam dirampas dalam serbuan di sebuah dermaga di Jalan Feri Lama, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhammad Rizal Alias berkata, serbuah tersebut telah dilakukan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) lebih kurang jam 7.30 malam.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenama minuman keras berjumlah 22,000 karton di dalam 10 buah kontena dan disyaki tidak mempunyai cukai kastam.
“Pasukan itu telah merampas kesemua minuman keras dan kontena berkenaan,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya, turut dirampas sebuah kapal tongkang, dua buah lori treler dan 10 buah treler dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM11,327,200.
“Tiga lelaki tempatan dan seorang warga asing berumur 43 hingga 59 tahun yang berada di lokasi serbuan telah ditahan bagi membantu siasatan kerana gagal mengemukakan dokumen sah daripada kastam.
“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula 4 hingga 10 Mei ini,” jelasnya.
Tambahnya, kesemua rampasan dan tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah dan diserahkan kepada bahagian siasatan jenayah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.


