Kastam rampas dadah RM1.03 juta, sita Mini Cooper

28 Oct 2026 • 2:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kastam rampas dadah RM1.03 juta, sita Mini Cooper

SEPANG- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 16.39 kilogram (kg) dadah jenis bunga ganja dan ketamin bernilai RM1.03 juta dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG. Tuah berkata, rampasan bunga ganja seberat 7.28 kg bernilai RM582,400 dilakukan di Pos Malaysia International Hub, KLIA pada 12 Oktober lalu.

Beliau berkata, dadah berkenaan ditemukan dalam tujuh bungkusan kotak yang dipercayai hendak dieksport ke sebuah negara di Eropah

“Pemeriksaan menemukan bungkusan plastik lutsinar kedap udara yang disyaki mengandungi bunga ganja, disembunyikan di dalam kotak yang diikrarkan sebagai kasut dan barang permainan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, kes kedua membabitkan rampasan 9.114 kg ketamin bernilai RM455,700 di sebuah pengendali terminal kargo pada 9 Oktober lalu.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai dihantar dari sebuah negara di Eropah ke Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan kargo.

“Hasil pemeriksaan menemukan sembilan bungkusan aluminium yang disyaki mengandungi ketamin, disembunyikan dalam kotak yang diikrarkan sebagai sepana paip dan kotak peralatan,” katanya.

Aspalila berkata, kedua-dua kes dikesan menerusi pemeriksaan rutin anggota Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Pusat Mel dan Kurier JKDM KLIA.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan adalah menyembunyikan dadah dalam bungkusan dan menggunakan maklumat alamat pengirim serta penerima yang palsu atau tidak lengkap bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Sementara itu, JKDM KLIA turut menyita dua buah kereta Mini Cooper S bernilai RM180,000 yang diimport tanpa permit sah dalam operasi di dua lokasi berasingan sekitar Sepang pada 14 September lalu.

Aspalila berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain tidak mempunyai rekod pengimportan dan pendaftaran dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurutnya, anggaran cukai dan duti yang terlibat bagi kedua-dua kenderaan itu berjumlah RM154,620, manakala siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemiliknya. – KOSMO! ONLINE

The post Kastam rampas dadah RM1.03 juta, sita Mini Cooper appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved