
Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah merampas rokok seludup dan minuman keras, serta barangan elektrik bernilai RM878,858, dalam empat serbuan berasingan.
Ketua Penolong Pengarah Kastam Negeri Saidin Jalaluddin berkata kesemua barangan itu dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan, dengan diisytiharkan sebagai barangan lain.
Beliau berkata rampasan pertama dibuat pada 4 Mac, susulan pemeriksaan terhadap tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar, di mana pihak berkuasa menemui 41,472 botol pelbagai jenis minuman keras yang disyaki tidak menjalani pelepasan kastam, dengan anggaran nilai RM809,028.
“Rampasan kedua berlaku sekitar jam 2 petang hari sama apabila pasukan operasi menyerbu premis di Bandaraya Kota Kinabalu.
“Serbuan itu membawa kepada rampasan 751.16 liter pelbagai jenis minuman keras bernilai RM2,144 dengan anggaran nilai cukai RM6,723,” katanya pada sidang media, Rabu.
Beliau berkata operasi itu membawa kepada penahanan enam individu bagi memudahkan siasatan.
Tambah Saidin, rampasan ketiga berlaku pada 5 dan 7 Mac lalu, di sebuah stor yang terletak di kawasan Pasar Tamu Brumas, di Tawau.
“Pasukan itu merampas 26,726 batang rokok seludup dianggarkan bernilai RM25,015. Rampasan keempat yang berlaku pada 6 Mac lalu melibatkan kabel dan barangan elektrik di kawasan Terminal Bas Ekspres Lahad Datu.
“Antara rampasan ialah 216 gulung kabel dan lampu LED pelbagai jenama disyaki barang larangan dengan anggaran nilai RM5,060 termasuk cukai,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal ke atas empat kes itu, modus operandi sindiket itu membabitkan membuat pengikraran palsu.
Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Saidin berkata pihaknya telah merancang dan menjalankan pelbagai operasi menjelang sambutan Aidilfitri.
“Operasi bermula 1 Mac lalu dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan termasuk di sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya.
