Kastam Sarawak Rampas Rokok, Minuman Keras Bernilai RM2.4 Juta Di Bintulu

17 May 2024 • 7:32 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Sindiket simpan barang seludup di premis kosong diberkas

Kastam Sarawak Rampas Rokok, Minuman Keras Bernilai RM2.4 Juta Di Bintulu. Sebanyak 2,580,000 batang rokok dan 6,147.36 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam, dengan anggaran nilai RM2,414,784.30 termasuk duti dan cukai, telah dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di Bintulu.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, menyatakan bahawa operasi tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu pada Jumaat lepas, sekitar jam 10.05 pagi di sebuah premis kosong di Kemena Industrial Estate Commercial Centre di Jalan Bintulu-Tatau.

image is not available
Kastam Sarawak Rampas Rokok, Minuman Keras Bernilai RM2.4 Juta Di Bintulu. Sumber: Utusan Borneo

Dalam serbuan tersebut, pasukan menemui sejumlah rokok putih dan minuman keras pelbagai jenama yang disembunyikan di premis tersebut tanpa setem cukai dan disyaki tidak berkastam.

“Semasa serbuan dan pemeriksaan dilakukan, tiada wakil atau pemilik barang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataa.

Menurut beliau, pasukan JKDM telah menunggu dan membuat intipan selama hampir satu jam, namun tiada wakil atau pemilik yang tampil mengaku sebagai pemilik barang-barang tersebut.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai RM550,807.75 dan anggaran jumlah duti dan cukai yang terlibat adalah RM1,863,976.55,” tambahnya.

Beliau menjelaskan bahawa sindiket tersebut menggunakan modus operandi dengan menyimpan rokok dan minuman keras yang tidak berkastam dalam premis kosong untuk mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan bahawa dalam tempoh Januari hingga 10 Mei 2024, JKDM Stesen Bintulu telah merekodkan sebanyak 64 kes dengan jumlah keseluruhan nilai dan cukai terlibat ialah RM3,092,721.28. Manakala, dalam tempoh yang sama pada tahun 2023, terdapat 42 kes dengan jumlah keseluruhan nilai dan cukai sebanyak RM1,279,410.59.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 22 kes dengan jumlah keseluruhan nilai dan cukai sebanyak RM1,802,264.49,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai untuk membantu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan, dan lain-lain serta dinasihatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti tersebut.

Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, tetapi juga mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Baca lagi artikel menarik: