Kastam serbu gudang, tumpas sindiket seleweng diesel bersubsidi

10 Jul 2023 • 6:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

RAWANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dipercayai mengaut keuntungan sehingga dua kali ganda daripada harga subsidi hasil serbuan di sebuah gudang di Jalan Tukang Besi, di sini pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket berkenaan disyaki membeli diesel di stesen minyak dengan harga subsidi RM2.15 seliter dan dijual semula kepada pemain industri dengan harga sekitar RM4 seliter, berbanding harga ditetapkan untuk pihak industri iaitu sekitar RM5 seliter.

“Melalui sindiket ini, pemain industri dapatkan diesel dengan harga lebih murah berbanding harga biasa yang mereka perlu bayar,“ katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di Rawang hari ini.

Menurutnya, serbuan telah dilakukan oleh pasukan Operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I itu pada 9 malam, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan rapi terhadap premis tersebut telah menemukan beberapa muatan tangki diesel, tiga tangki skid bersaiz 30,000 liter dan tiga lori yang telah diubah suai.

“Turut dijumpai peralatan pam minyak bagi tujuan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan keseluruhan berjumlah 48,600 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM104,490 membabitkan jumlah cukai dan duti terlibat dianggarkan berjumlah RM19,920,“ katanya.

Beliau berkata hasil semakan lanjut di dalam premis tersebut tidak menemukan sebarang dokumen berkaitan kelulusan penyimpanan barang kawalan dan siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesan pemilikan atau kumpulan sindiket yang terlibat bagi tindakan selanjutnya.

“Sindiket telah menjadikan kawasan ini sebagai lokasi penyimpanan atau transit minyak diesel kerana kedudukannya yang jauh dari pandangan awam dan dipercayai telah menjalankan kegiatan tersebut bermula awal tahun ini berdasarkan bukti penjejakan dibuat pasukan,” katanya.

Beliau berkata nilai kerugian sebenar sejak sindiket ini bergiat aktif dan jumlah liter yang telah diseleweng masih lagi dalam siasatan pihak kastam dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sazali menyeru orang awam untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. -Bernama