“Kasut Kesayangan” Untuk Anak Murid Yatim, Keikhlasan Cikgu Ini Menyentuh Hati, Ramai Tak Tahan Sebak

19 Jan 2026 • 11:38 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Ada insan hadir dalam hidup kita bukan sekadar menjalankan tanggungjawab, tetapi menjadi pelindung tanpa diminta dan penyayang tanpa syarat. Begitulah kisah seorang guru yang menyentuh hati ramai, apabila keikhlasannya terhadap anak murid yang serba kekurangan mencetuskan rasa sebak dalam kalangan netizen.

Tular di platform Threads satu perkongsian menyentuh hati oleh seorang guru dikenali sebagai @i_akram, apabila beliau berkongsi kisah kasih sayang dan keprihatinannya terhadap seorang anak murid yang hidup dalam serba kekurangan.

Menerusi perkongsian itu, cikgu berkenaan memaklumkan bahawa anak murid tersebut merupakan anak yatim, selepas ibunya meninggal dunia. Bapanya pula bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala mereka sekeluarga tinggal di rumah datuk bersama adik-beradik lain.

Menurut cikgu itu lagi, murid berkenaan mempunyai dua orang abang yang juga merupakan anak muridnya. Ketiga-tiga beradik tersebut dikenali sebagai pelajar yang pandai bermain bola sepak dan sering dipilih untuk mewakili sekolah dalam perlawanan.

“Depa tiga beradik ni pandai main bola, memang saya ambik main wakil sekolah,” tulisnya.

Cikgu Juga Anak Yatim

Lebih menyentuh perasaan, dalam video yang dikongsikan, cikgu tersebut turut mendedahkan bahawa beliau juga merupakan seorang anak yatim, sekali gus membuatkan dirinya lebih memahami perasaan dan keperluan anak murid berkenaan.

Keikhlasan dan keprihatinan itu nyata menyentuh hati ramai netizen. Ruangan komen dibanjiri ucapan penghargaan serta doa, dengan rata-ratanya meluahkan rasa sebak melihat keikhlasan seorang pendidik yang sanggup berkongsi rezeki dan perhatian kepada anak muridnya.

Ramai yang menzahirkan rasa terima kasih kepada cikgu tersebut, malah mendoakan agar beliau terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan sebagai tanda penghargaan atas kebaikan yang ditunjukkan.

Perkongsian ini sekali lagi membuktikan bahawa seorang guru bukan sekadar pendidik di dalam kelas, tetapi juga insan yang mampu menjadi pelindung, pembimbing dan sumber kekuatan buat anak-anak yang diuji dengan kehidupan sejak kecil. – The Malaysian Update