KUALA LUMPUR - Kaukus Palestin Parlimen Malaysia akan menganjurkan Himpunan Peringatan Tiga Tahun Genosid Gaza pada Jumaat ini bagi memperingati serangan dahsyat di negara berkenaan.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, himpunan yang dijadual berlangsung pada jam 2 petang itu akan bermula di Menara Tabung Haji sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
“Hari ini (Rabu), 7 Oktober menandakan genap tiga tahun sejak bermulanya serangan dahsyat ke atas Gaza. Kaukus menyeru orang ramai sertai himpunan ini.
“Setelah tiga tahun berlalu, solidariti Malaysia mesti kekal teguh dan disertai tindakan yang terlaras, telus serta boleh diukur.
“Kami menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti politik supaya menyokong usaha membawa perkara ini ke Dewan Rakyat sebagai tanggungjawab kemanusiaan bersama,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim turut memaklumkan jawatankuasa berkenaan akan mengemukakan usul mengenai genosid di Gaza kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat memohon supaya ia dibahaskan di Dewan Rakyat minggu depan.
Katanya, Kaukus Palestin Parlimen Malaysia juga berharap diberikan masa mencukupi bagi membolehkan perbahasan yang substantif serta penyertaan wakil rakyat rentas parti.
“Bagi menjayakan inisiatif ini, kami menyeru supaya libat urus yang selaras diadakan bersama kerajaan serta ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memuktamadkan usul tersebut.
“Selain itu, memudahkan cara pembentangan dan penjadualannya selaras dengan peraturan mesyuarat yang berkuat kuasa,” katanya.
Tambah beliau, terdapat tiga usul yang dicadangkan antaranya menuntut gencatan senjata yang berkekalan, akses bantuan yang selamat, berterusan tanpa halangan.
Usul lain yang perlu dicadangkan ialah menolak pemindahan paksa rakyat Palestin dan menyokong proses Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam bidang kuasa masing-masing serta menghormati keputusan kehakiman antarabangsa berkaitan.




