
KUALA LUMPUR - Kaunter mahkamah digesa mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuktikan kebenaran dakwaan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP).
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kenyataan PKPMP yang menafikan kaunter jamin mahkamah ditutup awal Khamis lepas perlu dibuktikan.
Menurut beliau, rakaman CCTV adalah satu-satunya cara yang boleh membuktikan kebenaran dakwaan PKPMP itu.
“Enam tertuduh terpaksa meringkuk dalam penjara hanya kerana kaunter jaminan ditutup awal.
“Jika benar penafian oleh PKPMP itu, ia perlu dibuktikan segera bagi mengelakkan persepsi negatif orang ramai,” katanya hari ini.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas insiden melibatkan enam tertuduh satu kes jenayah, yang dikatakan terpaksa meringkuk dalam penjara kerana kaunter jaminan ditutup lebih awal berbanding waktu sepatutnya.
Empat lagi tertuduh terlepas daripada penjara apabila berjaya menjelaskan jaminan tepat pada waktu.
Peguam mereka, Alvin Tan dipetik sebagai berkata, kaunter jaminan tersebut ditutup pada jam 2.53 petang, sedangkan ia sepatutnya beroperasi sehingga 4.30 petang.
Alvin berkata, kesemua anak guamnya masing-masing dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM4,000 seorang.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang isu pentadbiran yang mengganggu hak individu untuk diikat jamin boleh dianggap melanggar prinsip kardinal.
“Hak untuk diikat jamin ialah hak asasi setiap individu mengikut perlembagaan, dan ia perlu dhormati tanpa sebarang persoalan.
“Pihak saya akan meneliti dakwaan penutupan awal kaunter jaminan tersebut, dan semakan masih dibuat dengan pihak pentadbir mahkamah,” katanya. - Getaran, 25 April 2023

