Kawalan rapi ke Makkah demi kelancaran musim haji

LocalTravel
24 Apr 2026 • 10:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kawalan rapi ke Makkah demi kelancaran musim haji
Kad nusuk sangat penting dan perlu sentiasa ada bersama jemaah.
Image from: Kawalan rapi ke Makkah demi kelancaran musim haji
Tengku Mohd Dzaraif ketika bercakap kepada media.

MAKKAH – Sejak berada di bumi Makkah, penulis berpeluang menyaksikan sendiri tahap kawalan keselamatan yang dipertingkatkan pihak berkuasa Arab Saudi di setiap laluan utama menuju kota suci ini menjelang musim haji tahun ini.

Bukan sahaja di pintu masuk bandar, malah sepanjang perjalanan ke Makkah, kehadiran anggota keselamatan jelas kelihatan di pelbagai lokasi menerusi rondaan berkala, sekatan jalan raya serta pemeriksaan terhadap kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Keadaan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan Arab Saudi dalam memastikan hanya individu yang memiliki visa haji sah dibenarkan memasuki Makkah bagi menunaikan ibadah haji.

Tinjauan penulis di beberapa sekatan mendapati pemeriksaan dilakukan secara teliti membabitkan kenderaan persendirian, bas serta penumpang yang menggunakan laluan utama ke kota suci berkenaan.

Terdapat kenderaan diperiksa satu persatu, manakala semakan rambang turut dijalankan keatas individu tertentu sebagai langkah kawalan tambahan.

Walaupun suasananya agak ketat, langkah itu dilihat wajar bagi mengekang cubaan segelintir pihak memasuki Makkah tanpa permit rasmi untuk menunaikan haji secara tidak sah.

Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum ini menegaskan kemasukan tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi menjejaskan kelancaran operasi haji serta memberi kesan kepada jutaan jemaah yang hadir menerusi saluran rasmi.

Selain semakan visa dan dokumen perjalanan, anggota keselamatan turut memeriksa kad nusuk yang diwajibkan kepada setiap jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci.

Kad berkenaan berfungsi sebagai pengenalan rasmi jemaah selain mengesahkan seseorang itu memiliki permit haji sah.

**media[3501502]**

Malah, kad nusuk juga penting bagi membolehkan jemaah mengakses pelbagai kemudahandan perkhidmatan rasmi yang disediakan sepanjang musim ibadah.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, kad nusuk perlu sentiasa dipakai dan dijaga dengan baik kerana ia bukan sekadar pengenalan diri, malah permit rasmi untuk memasuki lokasi tertentu yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurut beliau, semua jemaah Malaysia dinasihatkan sentiasa memakai dan mempamerkan kad berkenaan terutama ketika berada di tempat awam bagi memudahkan urusan pemeriksaan pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa Saudi berada di merata-rata dan mereka sentiasa membuat semakan serta pemeriksaan dari semasa ke semasa.

“Jadi kad nusuk ini sangat penting dan perlu sentiasa ada bersama jemaah,” katanya di sini pada Khamis. 

Beliau turut mengingatkan agar kad berkenaan tidak dipinjamkan kepada orang lain kerana ia merupakan satu-satunya bukti pengenalan diri jemaah sepanjang berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Apa yang menarik perhatian penulis, walaupun jemaah telah melepasi proses imigresen sebaik tiba di lapangan terbang, pemeriksaan tambahan di pintu masuk Makkah masih diteruskan.

Ia menjadi lapisan kawalan kedua bagi memastikan tiada penyalahgunaan visa berlaku selain menghalang kemasukan individu yang tidak mempunyai kebenaran sah.

Langkah penguatkuasaan itu turut membantu mengelakkan kesesakan luar jangka, isu logistik serta tekanan terhadap kemudahan awam yang telah dirancang berdasarkan jumlah rasmi jemaah berdaftar.

Dalam masa sama, jemaah Malaysia yang tiba secara berperingkat sejak 18 April lalu dinasihatkan sentiasa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Tanah Suci.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia dijadual berlepas ke Arab Saudi bagi menunaikan rukun Islam kelima pada musim haji kali ini menerusi penerbangan berperingkat.

Secara keseluruhannya, kawalan rapi yang disaksikan sendiri penulis ini mencerminkan komitmen tinggi kerajaan Arab Saudi untuk memastikan perjalanan ibadah haji berlangsung lebih tersusun, selamat dan selesa buat seluruh tetamu ALLAH dari seluruh dunia.

View Original Article