Kawalan sempadan diperkukuh susulan insiden letupan di selatan Thailand

LocalPolitics
2 Jul 2026 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kawalan sempadan diperkukuh susulan insiden letupan di selatan Thailand
Adly (tiga dari kiri) menyampaikan peranti digital kepada anggota untuk kegunaan anak mereka kerana cemerlang dalam peperiksaan.  - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand terus diperketat susulan insiden letupan yang menyebabkan dua rakyat Malaysia cedera di selatan Thailand, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Menurut beliau, meskipun kejadian tersebut berlaku di luar wilayah Malaysia, aspek keselamatan di kawasan sempadan negara sentiasa diberi keutamaan menerusi kerjasama rapat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Kita tahu kejadian itu berlaku di luar sempadan negara kita, namun dalam sempadan Malaysia, kawalan sentiasa dilaksanakan dan diberikan keutamaan.

“Yang penting ialah memastikan keselamatan bukan sahaja anggota bertugas, malah masyarakat yang berada di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah diambil Kementerian Pertahanan susulan beberapa siri letupan yang berlaku di wilayah selatan Thailand sejak kebelakangan ini.

Adly berkata, pihaknya sentiasa mengambil maklum terhadap sebarang perkembangan keselamatan di negara jiran dan akan memperketatkan kawalan di sempadan sekiranya diperlukan.

Menurutnya, selain memastikan keselamatan, pihak berkuasa turut memberi perhatian terhadap aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan yang berpotensi berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia dan Thailand mempunyai mekanisme kerjasama sedia ada menerusi Jawatankuasa Sempadan Bersama bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kedua-dua negara.

“Kita ada Joint Border Committee dan biasanya sebarang isu yang melibatkan kedua-dua pihak akan dibincangkan melalui jawatankuasa tersebut.

“Prosedur operasi standard yang sedia ada turut mengambil kira pelbagai faktor dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan anggota dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi antara pasukan keselamatan Malaysia dan Thailand juga sentiasa berjalan dengan baik bagi membolehkan pertukaran maklumat dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kalau ada apa-apa kes, memang hubungan kita dengan Thailand sangat baik. Kami sentiasa berkomunikasi, sama ada melalui mekanisme dua hala ataupun kerjasama di peringkat ASEAN.

“Bagi kes ini juga, maklumat berkaitan turut dikongsi supaya langkah sewajarnya dapat diambil bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terus terpelihara,” katanya.

Adly sebelum itu hadir ke Kem Desa Pahlawan, Ketereh, di sini dan merasmikan Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 Edisi Pantai Timur.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved