PETALING JAYA: Kawasan rekreasi sungai yang dikenal pasti berisiko mengalami kepala air perlu ditutup sementara bagi mengelakkan kejadian kehilangan nyawa selain mesti dilengkapi sistem siren amaran awal untuk memberi peluang kepada pengunjung menyelamatkan diri.
Pakar Kejuruteraan Sungai, Hidrologi dan Pengurusan Risiko Bencana, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Azlinda Saadon berkata, langkah penutupan sementara merupakan tindakan pencegahan yang wajar diberikan keutamaan terutama ketika musim tengkujuh, hujan lebat berterusan atau apabila amaran cuaca buruk dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Katanya, kejadian kepala air sukar dijangka secara tepat darpadai segi masa dan magnitud kerana hujan lebat di kawasan hulu boleh menyebabkan peningkatan kadar aliran serta paras air sungai secara mendadak, walaupun kawasan rekreasi di hilir tidak menerima hujan.
“Penutupan boleh dilaksanakan secara bersasar berdasarkan tahap risiko, keadaan cuaca, ciri-ciri hidrologi lembangan sungai serta maklumat pemantauan agensi berkaitan, tanpa perlu dilakukan secara menyeluruh atau berpanjangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, katanya, pihak berwajib juga perlu mempertimbangkan pemasangan sistem siren amaran awal kepala air di lokasi rekreasi berisiko tinggi.
“Sistem ini boleh menggunakan alat pengukur hujan automatik (automatic rain gauge) dan penderia paras air (water level sensor) bagi mengaktifkan siren apabila bacaan mencapai ambang risiko yang ditetapkan,” katanya.
Azlinda sementara itu berkata, fenomena alam kepala air lebih berisiko berlaku di kawasan berbukit dan bergunung-ganang yang mempunyai cerun curam serta lembangan tadahan kecil.
Katanya, keadaan muka bumi itu menyebabkan air hujan mengalir lebih cepat ke saluran sungai terutama ketika hujan turun dengan intensiti tinggi.
“Aliran permukaan yang memasuki rangkaian sungai dengan cepat menyebabkan kadar aliran, paras air dan halaju arus meningkat. Perubahan daripada keadaan sungai yang tenang kepada aliran deras boleh berlaku dalam tempoh beberapa minit,” katanya.
Menurutnya lagi, keadaan itu juga menyebabkan pengunjung tidak menyedari peningkatan aliran air yang telah bermula di kawasan hulu sungai sebelum kepala air tiba di kawasan hilir.
Mengulas lanjut, katanya, perubahan warna air daripada jernih kepada keruh atau keperangan, paras air yang meningkat serta arus yang semakin deras antara petunjuk dan tanda awal kepala air yang perlu diberikan perhatian.
Katanya, kehadiran ranting, kayu, daun dan serpihan tumbuhan yang dihanyutkan dalam jumlah banyak serta bunyi deruan air yang semakin kuat juga boleh menandakan peningkatan aliran sungai.
“Bagaimanapun, tanda-tanda ini tidak semestinya muncul secara berurutan atau memberikan masa yang mencukupi untuk menyelamatkan diri.
“Sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada paras, warna atau kelajuan air, pengunjung perlu segera keluar dari sungai dan bergerak ke kawasan lebih tinggi serta selamat. Jangan menunggu sehingga arus menjadi terlalu deras,” katanya.
Kelmarin lima orang maut dan tiga lagi hilang ketika mereka bermandi manda berada di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu apabila dilanda kepala air setinggi lima meter.
The post Kawasan rekreasi berisiko perlu ditutup sementara appeared first on Utusan Malaysia.





