Kerajaan Negeri Sembilan akan memperkenalkan pendekatan baharu dengan menyediakan kawasan sewaan payung pantai yang lebih teratur di Pantai Telok Kemang, menggantikan khemah dan kanopi berwarna biru yang digunakan sebelum ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, pelaksanaan kaedah tersebut dijangka bermula pada 16 Disember ini.
Keputusan ini dibuat hasil daripada perbincangan dan libat urus antara Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Kemang yang diadakan pada September lalu.
Bagi melaksanakan kaedah ini, MPPD telah memulakan kerja naik taraf dan penyediaan plot pada 18 November lalu, dengan sasaran selesai menjelang 15 Disember. Langkah ini bertujuan menambah baik penggunaan pantai dengan menyediakan perkhidmatan sewaan payung yang lebih sistematik dan terkawal.
Kawasan khas untuk penempatan payung pantai akan melibatkan sebahagian kecil Pantai 2 dan Pantai 3 Telok Kemang. Dalam usaha ini, MPPD menyediakan sebanyak 33 plot perniagaan payung pantai dengan setiap plot berukuran 40 kaki x 20 kaki.
Peniaga hanya dibenarkan beroperasi dalam plot masing-masing berdasarkan keluasan yang ditetapkan. Setiap plot akan dilengkapi dengan lapan unit payung pantai, dua buah kerusi, dan sebuah meja yang bersesuaian untuk kegunaan pelanggan.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan menyelesaikan isu penggunaan khemah biru yang menimbulkan permasalahan sebelum ini, malah meningkatkan imej Pantai Telok Kemang sebagai lokasi pelancongan yang lebih menarik dan tersusun.
Sumber: Harian Metro
The post Kawasan sewaan payung pantai yang lebih teratur akan disediakan di Pantai Telok Kemang appeared first on The Reporter.


