liza05/10/2026 - 17:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Kaya Shipyard Sdn Bhd memperluas keupayaan operasi limbungan kapalnya di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah bagi meningkatkan kapasiti pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan vesel menerusi pembiayaan RM19.39 juta daripada MBSB Bank Berhad.
Syarikat yang ditubuhkan pada 1994 itu merupakan syarikat pembinaan kapal dan kejuruteraan maritim yang berpangkalan di Sabah, dengan kepakaran dalam pembinaan vesel, operasi limbungan kapal serta perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan vesel perikanan.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri, Kaya Shipyard menyediakan perkhidmatan kepada pemilik vesel dalam ekosistem perikanan Sabah untuk membantu memastikan kesiapsiagaan armada, kecekapan operasi dan kebolehpercayaan vesel.
Sementara itu, industri pembinaan dan pembaikan kapal telah menarik lebih RM1 bilion pelaburan antara 2021 hingga pertengahan 2025, mencerminkan permintaan berterusan terhadap infrastruktur maritim, keupayaan penyelenggaraan vesel dan pembangunan kapasiti industri.
Tingkatkan kapasiti limbungan
Antara pelaburan utama dalam peluasan operasi itu ialah pemerolehan Travel Lift Crane berkapasiti 500 tan bagi meningkatkan keupayaan mengangkat dan mengendalikan vesel.
Kemudahan tersebut dijangka membantu mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan vesel, selain meningkatkan keupayaan keseluruhan limbungan dalam mengendalikan jumlah kerja yang lebih tinggi.
Peluasan itu turut merangkumi pembangunan jeti dan dermaga tambahan di bawah program peluasan Fasa 2 syarikat.
Langkah berkenaan membolehkan Kaya Shipyard meningkatkan kapasiti bagi kerja pembinaan, pembaikan serta penyelenggaraan vesel selaras dengan permintaan yang berkembang daripada sektor perikanan dan maritim Sabah.
Sokong pemodenan vesel perikanan
Pada 2023, Kaya Shipyard mendapat kelulusan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan.
Program itu merupakan inisiatif nasional bagi memodenkan armada perikanan negara melalui penggunaan vesel yang lebih selamat, cekap dan berkapasiti lebih tinggi bagi meningkatkan produktiviti serta menyokong kemampanan jangka panjang sektor perikanan.
Perkembangan dalam infrastruktur sokongan seperti limbungan kapal juga dilihat penting bagi memenuhi keperluan sektor perikanan yang terus menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan makanan negara.
Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, sektor perikanan menyumbang RM11.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024.
MBSB salur pembiayaan RM19.39 juta
Bagi menyokong peluasan tersebut, MBSB Bank Berhad menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM19.39 juta kepada Kaya Shipyard.
Pembiayaan itu menyokong pelaburan dalam infrastruktur limbungan kapal, peralatan pengendalian vesel serta kemudahan operasi syarikat di Teluk Sepanggar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef, berkata pertumbuhan industri perikanan dan maritim bergantung kepada kekuatan infrastruktur yang menyokongnya, termasuk kemudahan pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan vesel.
“Dengan menyokong peluasan Kaya Shipyard, MBSB Bank turut menyumbang kepada pembangunan kapasiti infrastruktur maritim sambil menyokong pertumbuhan perniagaan dalam sektor yang memainkan peranan penting kepada ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya. - DagangNews.com
