KBS, MTDC jalin kerjasama perkasa belia dalam Industri 4.0 dan keusahawanan teknologi

18 Sep 2023 • 3:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KBS, MTDC jalin kerjasama perkasa belia dalam Industri 4.0 dan keusahawanan teknologi

diyana

18/09/2023 - 15:22

KUALA LUMPUR 18 Sept - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia (MTDC) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memajukan belia negara dalam Industri 4.0 dan keusahawanan teknologi.

MoU tersebut merupakan berikutan kejayaan kerjasama kedua-dua pihak untuk program transformasi pendidikan teknikal, vokasional (TVET) pada Mac tahun ini di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur.

Menurut satu kenyataan media hari ini, MTDC berkata ia akan menyokong KBS dengan khidmat nasihat dan sokongan, serta pelaksanaan kilang pengajaran dalam penyampaian pendidikan kepada pelajar universiti di bawah program TVET.

Khidmat nasihat dan sokongan yang diberikan akan merangkumi pentauliahan, pembangunan kecekapan, pemindahan pengetahuan, naik taraf peralatan, program pembinaan kapasiti dan mempromosi pendidikan dan latihan profesional dalam bidang berkaitan teknologi.

Di samping itu, MTDC juga akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kilang pengajaran, di mana inisiatif berkenaan termasuk menaik taraf kemudahan dan peralatan mengajar untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar.

“Kerjasama dengan KBS dan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) memberi peluang kepada kami untuk mencipta ekosistem bertenaga yang memperkasakan belia dan mempercepatkan kemajuan teknologi di Malaysia.

“Kami bercita-cita untuk mewujudkan kumpulan bakat TVET yang kompeten untuk pekerjaan bergaji tinggi dalam industri deeptech dan i.40,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan ketika majlis pemeteraian MoU tersebut di UPM-MTDC Technology Centre III, Serdang.

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama mempromosikan peluang rangkaian antara MTDC dan syarikat ekosistemnya dengan ILKBS.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS, Shahrul Affendi Bin Baharudin menambah bahawa kementerian tersebut komited memastikan belia dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk cemerlang dalam era digital.

“Kerjasama kami dengan MTDC adalah bukti dedikasi kami untuk mempersediakan anak muda Malaysia dengan sumber dan prospek yang diperlukan untuk maju dalam era Industri 4.0.

“Kerjasama ini diharapkan dapat memberikan nilai tambah kepada pelajar dan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya. - DagangNews.com