
KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan persetujuan untuk pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh, dekat sini, antara venue Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2026, dilaksanakan mulai bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat (gambar) berkata tender pembinaan telah dikeluarkan pada Ogos lepas.
“Pada mesyuarat terakhir, KBS telah bersetuju untuk meneruskan pembinaan kompleks tersebut yang akan bermula mulai bulan ini.
“Syarikat yang layak akan dipilih oleh kementerian bagi melakukan pembinaan kompleks ini yang menelan belanja berjumlah RM256 juta serta dijangka siap sepenuhnya pada 2025,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Lite Superbowl di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Kompleks Sukan Bukit Merbau bakal memiliki enam komponen kemudahan termasuk stadium utama yang dilengkapi padang bola sepak dan trek olahraga berkapasiti 20,000 orang.
Lima lagi kemudahan lain adalah arena tertutup dengan gelanggang pelbagai guna, stadium hoki berserta dua padang, pusat skuasy, gelanggang boling padang dan lapang sasar menembak dengan kemudahan lapang sasar tertutup yang mampu memuatkan antara 100 hingga 1,000 penonton. -Bernama

