Nampaknya konsep zaman siaran televisyen telah kembali apabila banyak perkhidmatan penstriman video mula menawarkan iklan yang keluar pada waktu-waktu tertentu ketika menstrim video. Syukur di Malaysia tiada yang menawarkan pelan murah dengan iklan, sehinggalah baru-baru ini KC Global Media melancarkan saluran FAST pertama mereka menerusi sooka.

FAST atau Free-Ad Supported Streaming Television adalah saluran TV yang boleh distrim dengan sooka. Saluran pertama ini adalah KCM yang menawarkan kandungan premium seperti filem popular, dokumentari hangat dan juga drama bersiri secara percuma dengan kaveat anda perlu menonton iklan. Antara kandungan yang telah disahkan akan ditawarkan adalah dokumentari Cristiano Ronaldo: The One and Only, BTS: Global Takeover, Taylor Swift Dare to Dream dan banyak lagi. Sementara drama bersiri pula adalah seperti 5ive Days to Midnight, Aardvark dan beberapa yang lain.

KCM boleh diakses oleh semua pengguna sooka tidak kira yang percuma atau yang berbayar. Pengguna sooka boleh menikmati sehingga 20 saluran KCM yang menyiarkan pelbagai kandungan berbeza. Bagi yang tidak mengenali KC Global Media, mereka adalah syarikat di sebalik saluran AXN dan Animax.

