zakisalleh30/04/2026 - 09:00 KD Maharaja Lela semasa melakukan ujian pelayaran dekat perairan Pulau Pangkor. Oleh Zaki Salleh editor@dagangnews.com LUMUT 30 April - Kapal tempur pesisir pertama (LCS 1), KD Maharaja Lela telah memulakan ujian pelayaran di laut seperti yang dijadualkan bagi menguji prestasi kapal.
Ujian ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program pengesahan dan penilaian kesiapsiagaan sebelum kapal diserahkan kepada TLDM.
Perkembangan terbaru projek LCS tersebut dikongsikan pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS) menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi syarikat.
Ujian pelayaran yang dijalankan di sekitar perairan Pulau Pangkor itu turut diselia Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Kept (B) Ir Azhar Jumaat.

Berdasarkan pada paparan video, KD Maharaja Lela kelihatan lengkap sebagai sebuah kapal perang dengan kebanyakan peralatan utama telah berjaya dipasang pada kapal berkenaan.
Antaranya sistem persenjataan utama kapal iaitu meriam Bofors 57mm Mk3, peralatan elektronik kapal termasuk radar, manakala ruang bagi pemasangan sistem peluru berpandu antikapal juga telah disediakan.
Ketika ini sistem persenjataan itu masih belum dipasang dan kapal LCS dijangka dilengkapi dengan sistem peluru berpandu NSM dari Norway untuk antikapal.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menandatangani surat hasrat (LOI) pada DSA 2026 lalu untuk memperoleh 29 peluru berpandu VL MICA daripada syarikat MBDA.


VL MICA merupakan sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat hingga 20 kilometer bagi melindungi kapal.
Kapal LCS juga bakal dilengkapi dengan torpedo di mana pada tahun lalu firma Systems Engineering and Assessment (SEA) diberi kontrak membekalkan sistem pelancar torpedo ringan.
Kesemua lima buah kapal kelas Maharaja Lela akan dilengkapi keupayaan pelancar torpedo ini.
Sistem TLS berkenaan mampu melancarkan pelbagai torpedo ringan standard NATO termasuk Mk44, Mk46, Mk54, Sting Ray, A244S, MU90 dan Blue Shark.


Sementara itu, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha sebelum ini memaklumkan bahawa KD Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada TLDM menjelang Disember tahun ini.
Beliau turut menyatakan pembinaan lima kapal LCS oleh LUNAS kini telah mencapai kemajuan 76.88 peratus dan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Selepas KD Maharaja Lela, kapal LCS 2 iaitu KD Raja Muda Nala dan LCS 3, KD Sharif Mashor masing-masing dijangka diterima TLDM pada April dan Disember 2027. - DagangNews.com



