
KUALA LUMPUR - KD Maharajalela, kapal pertama dalam projek Kapal Tempur Pesisir (LCS 1), hari ini melaksanakan pelayaran ujian sulungnya — menguji sistem jentera, jana kuasa, penghawa dingin serta pendorongan sebelum memasuki fasa ujian laut penuh.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah ini adalah proses awal untuk memastikan kapal tersebut benar-benar berupaya beroperasi di lautan.
Beliau menjelaskan bahawa fasa ujian laut di peringkat limbungan telah bermula sejak 20 Jan lalu.
“Walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, LCS 1 yang kini berada pada tahap kemajuan 82.90 peratus setakat Disember lepas, telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama kapal.
Khusus bagi kapal LCS 1, kemajuan sepatutnya ialah 96.52 peratus manakala kemajuan sebenar keseluruhan projek LCS telah mencapai 75.75 peratus, berbanding ikut perancangan sepatutnya 81.57 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamed Khaled berkata persediaan platform dan peralatan sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan ujian laut penuh dimulakan pada awal April ini.
Beliau turut memaklumkan laporan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) kepada pasukan projek menyatakan jadual pentauliahan LCS 1 dipinda ke Disember tahun ini.
“Memang ada lewat empat bulan. Bagi kapal LCS 2 pula dipinda ke Ogos 2027. Bagi kapal-kapal berikutnya pula pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029,” katanya.
Mengenai kos, Mohamed Khaled berkata nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah RM11.2 bilion bagi lima buah kapal, dengan perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion atau sekitar 74 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Dalam memastikan ketelusan dan kawal selia berterusan, kementerian telah mewujudkan pelbagai platform pemantauan seperti Project Management Review, Project Monitoring Committee, serta jawatankuasa teknikal yang bersidang secara berkala dengan penglibatan menyeluruh TLDM sebagai end-user dan pihak LUNAS,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN–Tanah Merah) mengenai persiapan kru, Mohamed Khaled menegaskan bahawa TLDM memberi perhatian serius terhadap latihan kru bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya seiring dengan jadual penyerahan kapal. - 28 Januari, 2026
The post KD Maharajalela mulakan pelayaran ujian pertama appeared first on Scoop.
