KD Pendekar tenggelam sepenuhnya

LocalPolitics
25 Aug 2024 • 9:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
KD Pendekar dilaporkan tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang Ahad. Foto media sosial

SHAH ALAM - Kapal Diraja (KD) Pendekar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang Ahad.

Markas TLDM dalam satu kenyataan berkata, usaha menyelamatkan kapal berkenaan melalui operasi salvaj masih dilaksanakan.

“Usaha pantas komuniti maritim telah berjaya menyelamatkan kesemua kru KD Pendekar seramai 39 orang sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan. Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Johor," katanya.

Sebelum itu media melaporkan seramai 39 kru KD Pendekar TLDM berhadapan detik mencemaskan apabila kapal itu tenggelam selepas mengalami kebocoran ketika penugasan operasi pada jam 12 tengah hari Sabtu dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan objek di bawah air.

Kenyataan tersebut juga memaklumkan aset TLDM ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden, dan boleh merujuk kepada sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini dan maklumat sebenar.