SHAH ALAM, 10 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menysarkan untuk membuka sekurang-kuranya lima Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ATDReC) pada tahun ini.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata selepas pembukaan ATDReC pertama Cyberjaya tahun lalu, kemudahan tersebut akan diperluaskan di ADTReC di Masjid At-Tuqo’, Tanjung Karang yang dijangka beroperasi pada Februari ini.
Beliau berkata pusat kitar semula pandu lalu yang ketiga dijangka ditempatkan di perkarangan Masjid Al- Ubudiah, Tasik Tambahan, Ampang selewat-lewatnya Mac depan.
“Pembinaan dua pusat ini susulan kemudahan sama di Cyberjaya sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk. Kemudahan antara usaha menyokong amalan kitar semula yang boleh dilakukan 24 jam selain menjimatkan kos urus sampah,” katanya kepada Media Selangor.
Mohd Tahir berkata ATDReC di Cyberjaya mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk dan berjaya mengutip sejumlah 7.76 tan barangan kitar semula bagi tempoh April hingga Disember.
“Secara purata, jumlah bahan kitar semula yang berjaya dikumpul ADTReC Cyberjaya setiap bulan ialah 862 kilogram.
“Berdasarkan rekod, barangan kitar semula paling banyak dikumpulkan adalah kertas campur berjumlah sebanyak 2.4 tan dari tempoh April hingga Disember,” katanya.
ATDReC adalah pusat kitar semula pandu lalu automatik dilengkapi kamera litar tertutup dan beroperasi 24 jam bagi menjadikan kitar semula lebih mudah diakses komuniti.
Ia menyediakan kemudahan mengitar semula barangan seperti kertas, surat khabar lama, botol plastik dan wayar.
Tahun lalu, inovasi dibangunkan KDEBWM itu menerima pengiktirafan dalam Majlis Anugerah PC.Com 2024, sebagai Pembekal Perkhidmatan Kitar Semula Inovatif Terbaik.

The post KDEBWM sasar buka lima lagi pusat kitar semula pandu lalu automatik appeared first on Selangorkini.

