KDEBWM sasar penambahbaikan kebersihan semua kampung tradisi selesai Disember ini

LocalEnvironment
8 Oct 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KDEBWM sasar penambahbaikan kebersihan semua kampung tradisi selesai Disember ini

SHAH ALAM, 8 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan penambahbaikan tahap kebersihan di semua kampung tradisi di Selangor dapat diselesaikan menjelang Disember ini, dengan pelaksanaannya kini mencapai hampir 70 hingga 80 peratus.

Pengarah Urusannya, Dato' Ramli Mohd Tahir berkata, inisiatif berkenaan sudah dilaksanakan di beberapa kawasan termasuk Hulu Langat, Klang, Selayang dan Sepang.

"Kita sudah mulakan di Hulu Langat, Klang, Selayang dan Sepang. Sekarang kita mahu selesaikan pelaksanaan di seluruh Selangor.

"Kita sudah mencapai hampir 70 hingga 80 peratus kawasan dan baki pelaksanaan dijangka dapat diselesaikan menjelang Disember," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, penambahbaikan itu melibatkan peningkatan kekerapan kutipan sampah selain penambahan tong Roll-On Roll-Off (RORO), tong sampah beroda MGB 240 liter dan MGB 660 liter.

Image from: KDEBWM sasar penambahbaikan kebersihan semua kampung tradisi selesai Disember ini
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurutnya, langkah berkenaan menunjukkan perubahan positif apabila kawasan kampung tradisi kini semakin bersih, kemas dan sistematik.

"Kita nampak sudah banyak perubahan. Kawasan kampung tradisi semakin bersih dan ini membuktikan bahawa dengan peruntukan serta kekerapan kutipan tambahan, pengurusan kebersihan dapat dilaksanakan dengan lebih baik," ujarnya.

Sementara itu, Ramli berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan dan tetap bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan kebersihan di kawasan kampung tradisi dapat diteruskan, termasuk mengekalkan kekerapan kutipan sampah sedia ada.

Katanya, keperluan itu penting berikutan kepadatan penduduk serta aktiviti perniagaan di kawasan kampung yang menyumbang kepada peningkatan jumlah sisa pepejal.

"Kalau boleh diwujudkan satu peruntukan tetap untuk kawasan kampung tradisi, saya rasa ia akan menjadikan kawasan ini lebih kemas dan bersih.

"Ini kerana kawasan kampung mempunyai penduduk yang padat dan aktiviti perniagaan yang turut menghasilkan jumlah sampah lebih tinggi," katanya.

Image from: KDEBWM sasar penambahbaikan kebersihan semua kampung tradisi selesai Disember ini
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim bersama Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir meninjau sekitar Jalan Khamis ketika sesi turun padang KDEB Waste Management di Meru, Klang pada 17 September 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, KDEBWM melaporkan aduan berkaitan kebersihan di 132 kampung tradisi seluruh Selangor berkurang sehingga 70 peratus susulan pelaksanaan pelan pengindahan.

Jumlah aduan di kawasan titik panas yang sebelum ini mencecah kira-kira 100 sebulan turut menurun kepada 30 selepas tiga bulan pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Untuk rekod, Selangor mempunyai 275 kampung tradisi dengan RM10 juta diperuntukkan bagi menambah baik sistem kutipan sisa pepejal dan meningkatkan tahap kebersihan di kawasan berkenaan.

Projek rintis fasa pertama yang bermula tahun ini dilaksanakan di beberapa kampung tradisi di Klang, Kajang, Selayang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Subang Jaya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved