Oleh ANNA FARINA ABDUL RAUF
SHAH ALAM, 4 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) bersedia menghantar bantuan untuk melaksanakan operasi pembersihan pascabanjir di negeri yang terkesan dengan musibah itu.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya menunggu arahan daripada Kerajaan Negeri, di samping terus bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir di Selangor.
“KDEBWM 100 peratus bersedia di semua kawasan di Selangor sahaja tetapi jika kita dapat arahan untuk membantu Terengganu, Kelantan, Kedah contohnya, kita bersedia,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan menggerakkan jenteranya untuk membantu proses pascabanjir di negeri yang terkesan.
Menurutnya, Selangor berhubung dengan beberapa agensi bagi mengatur pergerakan bantuan serta sukarelawan dan sedang memuktamadkan perkara tersebut.
Banjir melanda negara sejak minggu lepas dengan Kelantan paling teruk apabila merekodkan 41,881 mangsa membabitkan 13,468 keluarga di 93 pusat pemindahan sementara, setakat 12 tengah hari tadi.
Negeri-negeri lain yang terkesan ialah Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Pahang dan Melaka.
The post KDEBWM sedia bantu pembersihan pascabah di negeri terkesan appeared first on Selangorkini.

