SHAH ALAM, 9 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) membekalkan tong ‘Roll On Roll Off’ (Roro) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pembuangan sampah pukal sempena Tahun Baharu Cina.
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pihaknya turut membuat kutipan rumah ke rumah dengan menumpukan kawasan majoriti penduduk yang merayakan perayaan tersebut.

Beliau memberitahu kawasan PBT terlibat termasuk Shah Alam (348 lokasi), Klang (178 lokasi) dan Subang Jaya, berdasarkan permohonan kepada KDEBWM dengan 800 slot disediakan.
“Pada setiap musim perayaan, KDEBWM akan bekerjasama dengan PBT untuk membekalkan tong Roro atau membuat kutipan rumah ke rumah bagi kemudahan penduduk membuang sampah pukal,” katanya.
Pada masa sama, Ramli berkata kutipan sampah pukal akan dibuat seperti biasa tanpa tambahan kekerapan, selain memastikan kerjasama dengan PBT lancar.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan perkhidmatan kutipan sampah pukal percuma sempena Tahun Baharu Cina mulai 20 hingga 28 Januari.
Menurutnya, penduduk perlu memohon kepada KDEBWM bermula 13 hingga 21 Januari dan keutamaan diberikan kepada penduduk yang menyambut Tahun Baharu Cina.
The post KDEBWM sedia tong roro untuk sampah pukal sempena Tahun Baharu Cina appeared first on Selangorkini.



