KDEBWM: Ubah sikap asing sisa, kurangkan beban tapak pelupusan

LocalEnvironment
27 Jul 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KDEBWM: Ubah sikap asing sisa, kurangkan beban tapak pelupusan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Tahap kesedaran masyarakat negeri ini terhadap pengasingan sisa masih rendah, menyebabkan lebih banyak bahan yang boleh dikitar semula berakhir di tapak pelupusan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir berkata hanya 20.7 peratus isi rumah mempunyai kesedaran untuk mengasingkan plastik, kertas dan tin untuk dikitar semula.

"Cabaran terbesar apabila semua jenis sisa dicampurkan dalam satu plastik hitam. Bahan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas dan tin akhirnya dibawa ke tapak pelupusan.

"Sedangkan ia masih mempunyai nilai dan boleh digunakan semula. Itu satu kerugian yang perlu kita ubah bersama," katanya kepada Media Selangor.

Tegasnya, usaha meningkatkan kadar pengasingan sisa bukan hanya tanggungjawab negeri, sebaliknya perlu digalas komuniti, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan sebagai amalan.

"Program kitar semula boleh digerakkan di surau, masjid, kuil, gereja, sekolah dan balai raya dengan kerjasama komuniti serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih ramai mengambil bahagian," katanya lagi.

Ramli berkata KDEBWM turut menyediakan jadual kutipan bagi program kitar semula di lapan PBT bagi memudahkan orang ramai menghantar bahan yang boleh dikitar semula.

Menurutnya, sambutan terhadap program itu semakin menggalakkan dan pihaknya yakin kadar pengasingan sisa makanan mampu ditingkatkan secara berperingkat.

"Dengan lebih ramai masyarakat mengamalkan pengasingan sisa, kita bukan sahaja dapat mengurangkan beban tapak pelupusan, malah meningkatkan kadar kitar semula di Selangor," katanya.

Mengulas cadangan supaya penguatkuasaan diperketat, Ramli berkata kemudahan seperti tong sampah dan tong kitar semula sahaja tidak mencukupi jika masyarakat tidak menggunakannya dengan betul.

"Kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan, tetapi jika masyarakat tidak mengubah sikap, kemudahan itu tidak memberi manfaat, malah boleh bertukar menjadi lokasi pembuangan sampah.

"Sebab itu perubahan mentaliti dan kesedaran adalah kunci kepada pengurusan sisa yang lebih mampan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved