
Kota Kinabalu: Satu mesyuarat Pimpinan Tertinggi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan diadakan bagi membincangkan hala tuju parti itu, berikutan hukuman penjara dan denda dikenakan ke atas Presiden KDM Datuk Peter Anthony, pada Selasa.
Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda berkata, mesyuarat itu akan diadakan dalam masa terdekat dan meminta semua penyokong KDM di seluruh Sabah supaya bertenang dan terus memberikan sokongan padu kepada parti itu.
“Segala perancangan yang dibuat presiden dan pimpinan tertinggi parti sebelum ini akan diteruskan, termasuklah perjuangan kami dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti,” katanya dalam satu kenyataan mengulas keputusan mahkamah itu.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, beliau bersama pimpinan tertinggi dan semua pimpinan KDM di semua peringkat akan terus berjuang bersama rakyat Sabah.
Katanya, apa yang berlaku kepada presiden parti itu tidak bermakna perjuangan parti ini akan berhenti, tetapi mereka bertekad untuk lebih bersemangat meneruskan perjuangan demi kesejahteraan masyarakat dan masa depan Sabah.

