KDN perlu perjelas asas undang-undang tahanan rumah Najib

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 3:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KDN perlu perjelas asas undang-undang tahanan rumah Najib

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara perlu menjelaskan asas undang-undang yang diguna pakai bagi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan itu penting memandangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini memaklumkan Akta Tahanan Rumah masih dalam proses penggubalan.

Menurutnya, persoalan timbul selepas peguam Najib pada 14 Oktober lalu mengesahkan Najib menerima perintah tahanan rumah berserta syarat dan mekanisme pelaksanaannya.

“Persoalannya mudah, apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau kuasa sedia ada yang digunakan untuk melaksanakan tahanan rumah terhadap seorang pesalah yang telah disabitkan dan sedang menjalani hukuman penjara?

“Jika Akta Tahanan Rumah masih belum berkuat kuasa, KDN perlu menjelaskan apakah asas undang-undang yang membolehkan pelaksanaan tersebut dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, kerajaan masih belum memuktamadkan beberapa mekanisme utama bagi pelaksanaan tahanan rumah termasuk kewajipan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus.

Katanya, selain itu, kategori pelawat yang dibenarkan untuk menemui individu yang menjalani tahanan rumah juga belum diputuskan.

Mahfuz berkata, persoalan itu melibatkan pelaksanaan hukuman jenayah serta prinsip kedaulatan undang-undang yang perlu terpakai kepada semua pihak.

Beliau pada masa sama menyatakan bahawa persoalan berhubung asas perundangan tersebut tidak bermaksud mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Namun, menghormati kuasa pengampunan tidak bermakna persoalan tentang asas perundangan dan tatacara pelaksanaannya tidak boleh ditanya.

“Rakyat berhak mendapat maklumat dan mengetahui kedudukan sebenar daripada sudut perundangan. KDN dan Jabatan Penjara perlu menjelaskan secara terbuka apakah peruntukan undang-undang, peraturan atau kuasa sedia ada yang menjadi asas pelaksanaan tahanan rumah ini,” katanya.

Mahfuz mengibaratkan pelaksanaan sesuatu keputusan tanpa penjelasan asas undang-undang sebagai membina rumah tanpa pelan.

“Jangan bina rumah tanpa pelan, kemudian apabila dipersoalkan, barulah mencari pelan untuk menerangkan bagaimana rumah itu dibina.

“Begitu juga dalam pelaksanaan kuasa negara, asas undang-undangnya mesti jelas dan boleh diterangkan kepada rakyat. Dalam sebuah negara yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, rakyat tidak seharusnya dibiarkan tertanya-tanya mengenai asas perundangan sesuatu keputusan penting,” katanya. – UTUSAN

The post KDN perlu perjelas asas undang-undang tahanan rumah Najib appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved