KDN semak kejadian kapal nelayan, tiga kru 'ghaib' lebih sebulan

18 Nov 2025 • 4:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada 14 November. Gambar kecil: Saifuddin Nasution

SANDAKAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat semakan lanjut berhubung kejadian kehilangan sebuah kapal nelayan Sandakan bersama tiga kru sejak Oktober lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, setakat ini beliau belum mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan.

Menurutnya, semakan lanjut akan dijalankan oleh pihaknya.

"Tiada dalam maklumat saya... Nanti saya semak dulu," katanya dalam sidang media sempena Majlis Sembang Santai Bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution di Sandakan, pada Selasa.

Terdahulu, Sinar Harian menyiarkan laporan bertajuk Misteri tiga kru kapal nelayan Sandakan 'ghaib' lebih sebulan.

Kapal milik sebuah syarikat tempatan di Sandakan itu dilaporkan keluar menangkap ikan sebelum hilang dan gagal dikesan.

Semua kru kapal turut gagal dihubungi hingga hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Ramdan Ahzari, Ridwan Muhammad dan Risal Japar.