KDN tawar kontrak RM19.4 juta bekalkan kelengkapan taktikal kepada 69 Komando

14 Jun 2024 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KDN tawar kontrak RM19.4 juta bekalkan kelengkapan taktikal kepada 69 Komando

zakisalleh

14/06/2024 - 12:08

KUALA LUMPUR 13 Jun - Pasukan elit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima kelengkapan taktikal baharu bagi melengkapi keperluan operasi dan penggunaan semasa latihan.

Komando 69 merupakan salah satu pasukan yang diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM.

Kontrak bagi pembelian kesemua peralatan yang bernilai RM19.4 juta itu telah pun dibuka kepada syarikat yang layak oleh Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Syarikat yang memenangi kontrak nanti perlu membekalkan peralatan dalam tempoh dua tahun selepas mendapat surat setuju terima.

image is not available
Kelengkapan taktikal merupakan peralatan asas yang dibekalkan kepada semua anggota 69 Komando bagi kegunaan semasa latihan dan operasi.

Kelengkapan taktikal yang diperlukan ialah topi keledar taktikal berwarna hitam dengan pelindung mata antibalistik dan varian sama dengan pelindung mata balistik 9mm.

Turut diperlukan ialah set kepala yang boleh diserasikan dengan alat komunikasi.

Pasukan 69 Komando juga hendak dibekalkan dengan ves operasi lengkap dengan aksesori dan plat perisai tahap 3, kit tali pinggang dengan aksesori, pek penghidratan dan cermin mata keselamatan.

Pembelian seterusnya ialah seluar dan baju taktikal berwarna hijau, balaclava, tali pinggang taktikal, lanyard pistol, sarung tangan separuh jari berwarna hijau, pelapik siku dan pelapik lutut.

Kelengkapan lain yang hendak dibeli ialah tali senjata untuk submesingan, but kombat, kit rappel peribadi termasuk beg dan sut rappelling hitam, beg operasi bersaiz 100 liter dan 661 liter.

image is not available

Jumlah bagi setiap item yang hendak dibeli ini berbeza-beza mengikut keperluan iaitu antara 460 unit hingga 660 unit.

Menurut syarat tawaran kontrak, kelengkapan dan peralatan yang ditawarkan ini disenaraikan sebagai produk tempatan.

Walaupun jumlah sebenar keanggotaan pasukan Komando 69 tidak diketahui secara tepat tetapi ia dianggarkan berkekuatan satu batalion iaitu antara 600 hingga 700 pegawai dan anggota.

Pembelian kelengkapan taktikal ini sebenarnya adalah keperluan asas untuk pegawai dan anggota Komando 69 agar dapat melaksanakan tugasan yang diberikan.

Ini juga memperlihatkan PDRM memberi tumpuan kepada pasukan tersebut yang merupakan salah satu elemen penting dalam menguatkuasakan ketenteraan dan keselamatan negara.

image is not available
Hamzah (kanan) semasa melawat ruang pameran kelengkapan taktikal semasa DSA 2024 di Kuala Lumpur.

image is not available

Semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 di Kuala Lumpur pada Mei lalu, beberapa pegawai kanan pasukan 69 Komando hadir ke beberapa ruang pameran untuk melihat kelengkapan-kelengkapan tertentu.

Diketuai Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim, mereka melihat kelengkapan-kelengkapan taktikal yang dipamerkan termasuk dari syarikat luar negara.

Antaranya pengeluar topi keledar taktikal, pakaian, ves termasuklah senjatapi.

Sebagai sebuah pameran bertaraf antarabangsa, DSA 2024 menampilkan penyertaan syarikat-syarikat ternama termasuklah yang mempamerkan kelengkapan untuk unit-unit elit seperti komando. - DagangNews.com

View Original Article