KDNK Malaysia bagi 2023 diunjur kekal menyederhana pada 4.2% – MIDF Research

Business & Finance
2 Oct 2023 • 10:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KDNK Malaysia bagi 2023 diunjur kekal menyederhana pada 4.2% – MIDF Research

diyana

02/10/2023 - 10:06

KUALA LUMPUR 2 Okt - MIDF Research mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini berkembang pada 4.2% walaupun bacaan Indeks Peneraju (LI) yang lemah menandakan momentum pertumbuhan akan menjadi sederhana dalam jangka pendek.

Firma penyelidikan itu berkata ekonomi negara menyederhana daripada pertumbuhan kukuh 8.7% pada 2022, diheret oleh permintaan luar yang lemah dan juga disebabkan asas yang tinggi tahun lepas.

LI telah menguncup bagi bulan kelima berturut-turut pada Julai 2023, lebih perlahan sebanyak 0.9% tahun ke tahun (YoY) daripada 2.1% YoY yang dicatat pada bulan sebelumnya.

Selain itu, eksport negara turut menguncup bagi bulan keenam berturut-turut sebanyak 18.6% YoY pada Ogos tahun ini, berbanding 13% YoY bulan sebelumnya disebabkan kesan asas tinggi dan keadaan permintaan luar negeri yang terus lemah.

“Memandangkan eksport jatuh lagi pada Ogos, kami menjangkakan kelemahan dalam perdagangan luar akan berterusan dalam separuh kedua tahun ini. Namun begitu, kemungkinan pemulihan dalam eksport elektrik dan elektronik (E&E) global boleh memberikan sokongan kepada prestasi perdagangan dalam separuh kedua,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dari segi positif, pasaran pekerjaan atau buruh Malaysia terus menunjukkan trend yang bertambah baik dengan kadar pengangguran kekal pada paras terendah selepas wabak pada 3.4% dalam Julai, sementara tenaga buruh dan guna tenaga terus berkembang tahun ke tahun, masing-masing pada 1.9% dan 2.2%.

“Pada pandangan kami, pasaran pekerjaan yang semakin kukuh akan menyokong penggunaan pengguna dan pertumbuhan KDNK keseluruhan tahun ini. Bagaimanapun, kami menjangkakan sedikit penyederhanaan dalam pertumbuhan guna tenaga pada separuh kedua tahun ini memandangkan perdagangan luar kekal lemah,” ujarnya.

Memandangkan kelemahan dari segi luaran, MIDF Research berkata aktiviti ekonomi domestik akan menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun ini.

Dengan pertumbuhan sektor perkilangan yang terjejas oleh kelembapan perdagangan luar, prospek sektor perkhidmatan dan pembinaan akan disokong oleh peningkatan aktiviti penggunaan dan pelaburan.

Menurut firma itu, pemulihan sektor pelancongan juga akan memberi sokongan kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan dengan memanfaatkan peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong.

“Walaupun inflasi telah menyederhana daripada paras tertinggi kira-kira setahun yang lalu, inflasi yang tinggi berisiko menjejaskan keyakinan pengguna dan rancangan perbelanjaan masa depan.

“Di samping itu, kami berpendapat bahawa risiko kemerosotan kepada prospek pertumbuhan kebanyakannya adalah daripada perkembangan luaran seperti penurunan yang lebih ketara dalam permintaan luar, peningkatan ketegangan geo-politik, gangguan dan ketidakstabilan rantaian bekalan serta turun naik dalam pasaran komoditi dan kewangan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini. - DagangNews.com