KDNK Malaysia diunjur berkembang kukuh sebanyak 4.5% tahun ini - Affin Hwang
diyana
09/01/2024 - 15:26
KUALA LUMPUR 9 Jan - Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang kadar lebih kukuh sebanyak 4.5% pada 2024 berbanding anggaran KDNK 4% bagi 2023.
Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Investment Bank, Alan Tan Chew Leong berkata, unjuran berkenaan adalah berdasarkan jangkaan pemulihan dalam eksport berikutan permintaan yang lebih tinggi untuk produk elektrik dan elektronik (E&E), sejajar dengan prospek jualan semikonduktor global yang lebih baik.
Memetik unjuran Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS), beliau berkata pasaran semikonduktor global dianggarkan meningkat 13.1% tahun ini berbanding kemerosotan 9.4% tahun lalu.
“Ekonomi negara dijangka berkembang pantas pada 2024 memandangkan permintaan domestik berkemungkinan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama, manakala permintaan luar dijangka pulih,” katanya ketika membentangkan Prospek Makro dan Pasaran 2024 di Menara Affin hari ini.
Alan berpendapat bahawa permintaan domestik, yang telah mengurangkan kesan kemerosotan pertumbuhan eksport pada 2023, akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada 2024, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan pemulihan dalam aktiviti berkaitan pelancongan.
Jelasnya, pertumbuhan negara dan permintaan domestik akan disokong oleh sektor pelancongan yang telah menunjukkan penambahbaikan dalam perbelanjaan pelancongan dan trafik penumpang di lapangan terbang negara.
“Kami percaya bahawa menjelang 2024 akan ada peningkatan, di mana kita mungkin melihat lebih ramai pelancong datang bukan sahaja dari China tetapi juga dari rantau ini. Saya berpandangan bahawa ia akan diterjemahkan kepada kedatangan pelancongan yang lebih baik dan dicerminkan dalam permintaan domestik negara, terutamanya penggunaan swasta,” tambahnya.
Selain itu, Alan berkata pemacu pertumbuhan lain yang mungkin akan positif kepada pertumbuhan KDNK Malaysia adalah perbelanjaan pembangunan memandangkan kerajaan telah memperuntukkan RM90 bilion dalam Bajet 2024 yang dijangka akan membawa lebih banyak aktiviti pembinaan.
Mengulas mengenai inflasi, Affin Hwang menjangkakan inflasi negara pada separuh pertama tahun ini kekal pada paras 2.5% hingga 3%.
Alan berkata Malaysia terjejas sedikit oleh kenaikan harga komoditi global pada 2023, namun menjelang 2024, beliau berpendapat bahawa inflasi negara kekal terurus dan stabil.
“Kami tidak melihat sebarang faktor kukuh yang akan mendorong peningkatan inflasi, justeru ia akan kekal terurus,” tambahnya. - DagangNews.com


