Ke-8 terbaik dunia, siswi perakaunan Malaysia Hannah Mumtazah ungguli ACCA

26 Jul 2022 • 3:24 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DIIKTIRAF di peringkat antarabangsa, graduan wanita, Hannah Mumtazah mengharumkan nama negara selepas dinobatkan sebagai ‘Top Affiliate’, kelapan di dunia oleh badan perakaunan profesional Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom (ACCA)(UK).

Menurut kenyataan Universiti Teknologi MARA (UiTM), kecemerlangan yang dicatat Hannah Mumtazah binti Ahmad Murshidi, 22, terpilih dalam kalangan lebih kurang 500 graduan di Malaysia dan 3,877 di dunia.

Pelajar Program Perakaunan Profesional UiTM itu merupakan anak sulung dua adik beradik.

Sebelum ini Hannah meraih tempat pertama di Malaysia dan dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi kertas Financial Management.

Bukan itu sahaja, wanita muda ini pernah menduduki tempat pertama Malaysia dan kedua dunia kertas Strategic Business Reporting (SBR) dalam peperiksaan sama sesi Jun 2021.

image is not available

Hannah meluahkan kesyukuran di atas penganugerahan yang disifatkan sebagai pengakhiran yang amat manis bagi pengajian beliau di Fakulti Perakaunan, UiTM.

RAHSIA KEJAYAAN

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak melayang, Hannah mengakui kejayaan yang dicapainya itu tidak akan dikecapi tanpa sokongan ibu bapa dan rakan-rakan serta komitmen tinggi pensyarah fakulti.

Tekun dalam pembelajaran, tidak menghalang Hannah untuk bergiat aktif dalam persatuan pelajar fakulti.

Namun begitu, beliau menekankan kepentingan untuk kekal konsisten agar tidak ketinggalan dan sentiasa merujuk kepada pensyarah untuk menerima maklum balas dalam hal-hal peperiksaan atau latihan kelas.

Bagi Hannah, maklum balas daripada pensyarah harus diutamakan kerana itu adalah ruang untuk menambah baik pemahaman beliau bagi sesuatu subjek yang dipelajari.

image is not available
Kredit foto: Twitter

Pelajar lepasan Kolej Matrikulasi Selangor melalui program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) sebelum beliau melanjutkan pengajian program profesional ACCA di UiTM itu berharap mendapat peluang pekerjaan yang boleh merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang akauntan bertauliah.

Bukan calang-calang kejayaan yang ditempa Hannah Mumtazah, menunjukkan wanita Malaysia juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Semoga ia memberikan inspirasi buat kita semua agar tidak berputus asa terus menimba ilmu sepanjang hayat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.

View Original Article