SAYA tertarik dengan penegasan Professor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali di Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 Jumaat lalu yang merupakan satu diagnosis struktural terhadap kelemahan asas dalam reka bentuk polisi pendidikan Malaysia.
Hujah beliau bahawa “kita sebenarnya tidak ada Dasar Pendidikan Bumiputera” adalah refleksi kepada kegagalan negara membina satu kerangka dasar yang terfokus, terukur dan terselaras terhadap pembangunan pendidikan Bumiputera secara menyeluruh.
Pandangan ini diperkuatkan lagi oleh hujah Profesor Emeritus Datuk Dr Asma Ismail yang menegaskan dalam kongres sama bahawa Malaysia bukan kekurangan dasar atau peruntukan, tetapi berdepan masalah besar dari segi pelaksanaan, agihan sumber dan keberkesanan impak.
Inilah titik temu paling penting antara hujah Dr Noor Azlan dan Dr Asma. Dr Noor Azlan menegaskan ketiadaan dasar khusus pendidikan bumiputera manakala Dr Asma pula menunjukkan bahawa sistem pendidikan secara keseluruhannya mengalami masalah pelaksanaan, tadbir urus dan keberkesanan sumber.
Apabila kedua-dua hujah ini digabungkan, jelas bahawa isu pendidikan bumiputera bukan sekadar soal akses, tetapi soal struktur dasar, keberanian politik, tadbir urus dan ketepatan pelaburan.
Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai dasar pendidikan seperti Rancangan Pendidikan Malaysia, dasar TVET dan pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Walau bagaimanapun, seperti yang ditegaskan oleh Dr Noor Azlan, kesemua dasar ini tidak pernah sama sekali mengartikulasikan secara eksplisit trajektori pendidikan bumiputera secara menyeluruh dan sistematik.
Dalam teori dasar awam, keadaan ini boleh difahami sebagai suatu bentuk policy layering without targeting, iaitu situasi di mana pelbagai dasar diwujudkan tetapi gagal memberi impak yang signifikan kepada kumpulan sasaran kerana ketiadaan fokus yang jelas.
Akibatnya, intervensi yang dilaksanakan menjadi bersifat terpecah-pecah, tidak bersepadu dan tidak mempunyai kesinambungan antara satu peringkat pendidikan dengan peringkat yang lain.
Kelemahan ini menjadi lebih serius apabila dikaitkan dengan hujah Dr Asma tentang tadbir urus pendidikan yang berpecah. Menurut beliau, ekosistem pendidikan Malaysia melibatkan pra-universiti, akademik, TVET, badan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat yang ditadbir oleh pelbagai kementerian, akta dan polisi.
Keadaan ini membuktikan bahawa masalah pendidikan bumiputera tidak boleh diselesaikan melalui satu kementerian sahaja. Ia memerlukan kerangka nasional yang merentasi KPM, KPT, Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia, agensi TVET, agensi bumiputera dan kerajaan negeri.
Salah satu hujah paling kritikal yang dikemukakan oleh Dr Noor Azlan ialah ketiadaan pangkalan data pendidikan bumiputera yang menyeluruh dan bersepadu. Kewujudan data secara berpecah-pecah di pelbagai kementerian mencerminkan kegagalan dalam tadbir urus data pada peringkat nasional.
Dalam konteks dasar moden, data bukan lagi sekadar elemen sokongan, tetapi merupakan asas kepada pembentukan dasar yang berasaskan bukti. Tanpa kewujudan data longitudinal yang menjejak individu dari peringkat pra-sekolah hingga ke alam pekerjaan, tanpa pemecahan data mengikut etnik dan latar sosioekonomi, serta tanpa pelaporan berkala yang sistematik, maka dasar yang dirangka tidak dapat disasarkan dengan tepat.
Di sinilah hujah Dr Asma tentang keperluan pemantauan menjadi sangat penting. Beliau menegaskan bahawa setiap reformasi pendidikan mesti disertai mekanisme pemantauan yang jelas bagi memastikan pelaksanaan benar-benar berlaku. Tanpa pemantauan, dasar akan kekal sebagai retorik manakala jurang bumiputera akan terus tersembunyi di sebalik angka nasional yang terlalu umum.
Hujah Dr Noor Azlan mengenai kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak bumiputera serta kadar penyertaan pra-sekolah yang rendah juga merupakan indikator penting dalam memahami akar kepada ketidaksamaan pendidikan.
Dalam kerangka teori modal insan, perkembangan awal kanak-kanak memainkan peranan yang amat kritikal dalam menentukan keupayaan pembelajaran dan pencapaian akademik pada masa hadapan.
Pandangan ini seiring dengan penekanan Dr Asma bahawa pelaburan dalam pra-sekolah memberikan pulangan pelaburan dan pulangan nilai yang paling tinggi. Menurut beliau, kesilapan Malaysia adalah kerana wang tidak diletakkan pada tempat yang paling strategik.
Beliau menegaskan bahawa peruntukan kepada pra-sekolah masih terlalu rendah, iaitu sekitar 0.13 peratus daripada KDNK, sedangkan standard antarabangsa mencadangkan sekitar 1 peratus.
Jika pulangan tertinggi dalam pendidikan datang daripada pelaburan awal kanak-kanak, maka kegagalan memperkukuh pra-sekolah adalah kegagalan dasar yang akan memberi kesan sepanjang hayat.
Dalam konteks bumiputera, kesannya lebih besar kerana kanak-kanak daripada keluarga miskin, luar bandar dan kurang akses pendidikan awal akan memulakan persekolahan dengan jurang yang sudah pun melebar.
Dalam masa yang sama, Dr. Asma mengingatkan bahawa Malaysia membelanjakan sekitar 3.63 peratus hingga 3.9 peratus daripada KDNK untuk pendidikan, iaitu lebih tinggi berbanding beberapa negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam. Namun, hasil pembelajaran Malaysia masih ketinggalan berbanding negara-negara tersebut.
Dengan kata lain, negara tidak boleh lagi berbangga dengan saiz belanjawan pendidikan semata-mata. Yang lebih penting ialah sama ada setiap ringgit pendidikan benar-benar menghasilkan peningkatan literasi, numerasi, kemahiran, sahsiah dan kebolehpasaran.
Kaitan antara latar belakang sosioekonomi dan prestasi pendidikan yang dibangkitkan oleh Dr Noor Azlan juga disokong oleh pelbagai kajian antarabangsa, termasuk dapatan PISA.
Kajian ini secara konsisten menunjukkan bahawa pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah cenderung mencatat prestasi akademik yang lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka yang lebih berkemampuan.
Dalam konteks Malaysia, bumiputera secara relatifnya lebih tertumpu dalam kumpulan berpendapatan rendah. Oleh itu, jurang pencapaian pendidikan yang wujud bukanlah bersifat kebetulan, tetapi merupakan hasil daripada struktur sosial yang tidak seimbang. Kekurangan akses kepada sumber pendidikan seperti internet, bahan bacaan, nutrisi, persekitaran pembelajaran yang kondusif dan sokongan keluarga turut memperkukuhkan lagi jurang ini.
Dr Asma turut memperkukuh hujah ini melalui isu keciciran pelajar. Beliau menyatakan bahawa sekitar 27,000 pelajar setiap tahun tidak lulus SPM. Golongan ini berisiko tercicir tanpa kemahiran yang mencukupi.
Oleh itu, sistem pendidikan tidak boleh memaksa semua pelajar melalui laluan akademik yang sama. Sebaliknya, laluan TVET yang lebih fleksibel, bermaruah dan berkualiti perlu diperkasakan sebagai jalan alternatif yang sah kepada kejayaan.
Hujah ini amat selari dengan keperluan Dasar Pendidikan Bumiputera yang lebih komprehensif. Dasar tersebut tidak boleh hanya menumpukan kemasukan ke universiti, tetapi mesti merangkumi pelbagai laluan pendidikan termasuk TVET, micro-credentials, pembelajaran sepanjang hayat, latihan semula dan peningkatan kemahiran.
Perbincangan mengenai kebolehpasaran graduan Bumiputera pula memperlihatkan satu lagi dimensi penting dalam trajektori pendidikan.
Walaupun jumlah graduan bumiputera adalah tinggi, kadar pengangguran dan pekerjaan tidak setara yang mereka hadapi menunjukkan wujudnya ketidaksepadanan antara sistem pendidikan dan keperluan pasaran buruh.
Namun, hujah Dr Noor Azlan bahawa graduan yang gagal mendapatkan pekerjaan sering datang daripada latar belakang sosial yang lemah memberikan dimensi yang lebih mendalam.
Ini menunjukkan bahawa isu yang dihadapi bukan semata-mata berkaitan kemahiran teknikal, tetapi turut melibatkan kekurangan modal sosial, jaringan profesional, keyakinan diri, penguasaan bahasa, pendedahan industri dan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti.
Dalam hal ini, pandangan Dr. Asma tentang pembelajaran sepanjang hayat menjadi sangat relevan. Beliau menegaskan bahawa pembelajaran sepanjang hayat kini menjadi tonggak masa depan pendidikan, tetapi peruntukannya masih rendah.
Jika negara mahu bumiputera kekal relevan dalam ekonomi digital dan pasaran kerja yang berubah pantas, maka pendidikan tidak boleh lagi dilihat sebagai proses yang tamat selepas SPM, diploma atau ijazah. Pendidikan mesti menjadi proses berterusan sepanjang hayat.
Satu lagi dimensi penting yang dibawa oleh Dr Asma ialah kualiti guru. Beliau menegaskan bahawa mutu sistem pendidikan hanya sebaik mutu gurunya.
Dalam dunia yang berubah pantas, guru perlu menguasai bukan sahaja pedagogi asas, tetapi juga bidang baharu seperti pengekodan, kecerdasan buatan, kesihatan planet, teknologi digital dan penyelesaian masalah dunia sebenar.
Jika guru tidak diberikan latihan semula dan peningkatan kemahiran secara berterusan, maka jurang antara kurikulum dengan realiti masa depan akan semakin melebar.
Dalam konteks bumiputera, perkara ini lebih kritikal kerana sekolah kebangsaan yang majoritinya dihadiri pelajar bumiputera memerlukan guru yang benar-benar mampu mengangkat kualiti pembelajaran, bukan sekadar menyampaikan silibus.
Dr Asma juga membangkitkan isu kepercayaan awam terhadap sistem pendidikan kebangsaan. Beliau menyatakan bahawa hanya 45 peratus ibu bapa menyatakan keyakinan terhadap sistem pendidikan kebangsaan.
Pada masa yang sama, enrolmen di sekolah swasta dan antarabangsa meningkat sebanyak 34 peratus antara 2019 hingga 2024. Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memperkukuh polarisasi kaum dan ekonomi.
Apabila keluarga yang lebih berkemampuan meninggalkan sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan berisiko menjadi semakin terpisah daripada aspirasi kelas menengah.
Dalam keadaan sekolah kebangsaan majoritinya dihadiri pelajar bumiputera, kelemahan sistem sekolah kebangsaan secara langsung akan memberi kesan besar kepada masa depan pendidikan bumiputera.
Kritikan Dr Noor Azlan terhadap Majlis Ekonomi Bumiputera sebagai bersifat ad-hoc turut mendapat pengukuhan daripada hujah Dr. Asma tentang perlunya komitmen politik dan pendekatan keseluruhan negara.
Tanpa penetapan sasaran yang jelas, indikator prestasi yang terukur serta mekanisme pemantauan yang berterusan, dasar yang dilaksanakan berisiko menjadi tidak efektif.
Kenyataan bahawa tiada sasaran khusus bagi pendidikan bumiputera menunjukkan wujudnya kekosongan strategik yang serius.
Dalam keadaan ini, pelaksanaan dasar cenderung menjadi reaktif dan tidak berfokus, manakala penilaian terhadap keberkesanannya pula sukar dilakukan secara sistematik.
Keseluruhan hujah Dr Noor Azlan dan Dr Asma membawa kepada satu kesimpulan yang jelas, iaitu Malaysia memerlukan satu Dasar Pendidikan Bumiputera yang komprehensif, bersepadu dan berasaskan bukti.
Dasar ini perlu dirangka berdasarkan pendekatan kitar hayat yang merangkumi semua peringkat pembangunan individu, bermula daripada nutrisi, pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, TVET, pendidikan tinggi, pembelajaran sepanjang hayat hingga ke alam pekerjaan.
Selain itu, negara perlu membangunkan satu pangkalan data nasional yang bersepadu bagi membolehkan penjejakan trajektori pendidikan bumiputera secara menyeluruh.
Penetapan sasaran yang jelas dan boleh diukur perlu dijadikan asas kepada pelaksanaan dasar, di samping mewujudkan satu sekretariat tetap di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera bagi memastikan kesinambungan dan koordinasi dasar.
Tidak wajar sama sekali bagi pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan untuk memperlekehkan secara emosional dapatan data dan pandangan yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh akademik ini.
Sebaliknya, mereka seharusnya menyantuni, menilai secara rasional serta mewacanakan setiap hujah tersebut dengan penuh ketelitian dan keilmuan.
Hanya melalui keterbukaan intelektual dan kesediaan untuk berdepan dengan realiti secara jujur, barulah dapat dibuktikan kesungguhan sebenar dalam menangani akar permasalahan pendidikan bumiputera.
*Datuk Dr Ab Halim Tamuri, bekas Profesor, Fakulti Pendidikan, UKM. Kini merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor dan Pesuruhjaya Pas Selangor.
