'Ke mana kami mahu pergi?'

LocalEnvironment
14 Dec 2024 • 3:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shahruddin melihat air kuala sungai yang semakin tinggi pada musim tengkujuh

image is not available
Shahruddin menunjukkan tapak bilik tidur dan ruang dapur yang sudah dibadai ombak dan hakisan.

KOTA BHARU - Tujuh beranak di Kampung Semut Api di sini buntu untuk mencari tempat tinggal selepas rumah mereka dibadai ombak dan air pasang sepanjang musim tengkujuh.

Shahruddin Kassim, 52, bersama isteri dan lima anak juga hidup dalam ketakutan selepas ruang dapur dan sebuah bilik tidurnya dihanyutkan air.

Rumah yang dibina di atas tapak tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atas persetujuan jabatan berkenaan itu kini hanya menanti roboh berikutan hakisan serius dan air pasang semakin tinggi.

"Ke mana lagi kami mahu pergi jika rumah ini roboh. Ini sahaja tempat berlindung kami sekeluarga," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sabtu.

Shahruddin memberitahu, kediaman itu dibina lebih tiga tahun lalu tetapi setiap tahun dilanda hakisan menyebabkan beberapa bahagian rumah rosak sebelum bilik dan dapur dihanyutkan air ketika air pasang besar dua minggu lalu.

Dia yang bekerja kampung berkata, mereka sekeluarga kini tidak lena tidur dan berharap keadaan kembali seperti biasa.

Jelasnya, hakisan yang bertambah serius mengakibatkan tapak rumahnya kini hanya berada kira-kira 12.2 meter sahaja dari jarak pantai.

Ujarnya lagi, rumahnya dinaiki air sehingga 0.3 meter ketika air pasang besar minggu lalu tetapi mereka tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Mujur air surut dengan cepat. Lagipun saya bimbang keadaan rumah semakin terjejas dan meranapkan semua barang yang kami ada," katanya.

View Original Article