Ke mana Palestin selepas siri pembunuhan tokoh utama Hamas?

Opinion
9 Aug 2024 • 10:01 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

Beberapa tokoh penting Harakatul Muqawwamatul Islamiah (Hamas) dan sekutunya Hizbullah dibunuh dalam siri serangan rejim Israel ketika konflik Gaza membahang.

Terbaharu, Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh terkorban pada 31 Julai kerana letupan bom di kediamannya selepas hadir majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian. Sebelum itu, timbalannya Saleh al-Arouri maut dalam serangan di Beirut, Lubnan pada 2 Januari.

Israel juga mendakwa ketua Briged al-Qassam iaitu Mohammed Deif mati dalam pengeboman kem al-Mawasi di Gaza pada 13 Julai, namun Hamas menafikannya.

Hizbullah kehilangan komando kanan Fuad Shukr dalam serangan udara di pinggir Beirut, sehari sebelum Ismail dibunuh. Pada 1 April, komando elit Pasukan Quds Mohammad Reza Zahedi maut akibat pengeboman Israel ke atas konsulat Iran di Syria.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan Ismail, namun Iran mengaitkannya dengan Israel dan berikrar menuntut bela. Pada 6 Ogos, Yahya Sinwar diumum ketua biro politik Hamas menggantikan Ismail.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan sama ada konflik merebak ke Lubnan selain usaha jalan damai Palestin-Israel menjadi persoalan.

Awal Ogos, Jordan dan beberapa negara Barat menggesa rakyat mereka segera keluar dari negara berkenaan manakala ada syarikat membatalkan penerbangan ke Beirut.

Selain foto REUTERS mengenai situasi di rantau berkenaan, lensa NUR ADIBAH AHMAD IZAM dan REMY ARIFIN merakam reaksi rakyat Malaysia ke atas kematian Ismail. Keterangan gambar oleh HAFIZAN TAIB.

image is not available
Ribuan rakyat Iran menghadiri perarakan pengebumian ketua biro politik Hamas yang dibunuh pada 1 Ogos. Ismail dilaporkan maut akibat letupan bom di Tehran, Iran pada 31 Julai

image is not available
Rakyat Lubnan mengiringi jenazah Saleh al-Arouri di Beirut pada 4 Januari. Timbalan ketua Hamas itu terbunuh dalam serangan dua peluru berpandu dron Israel ke pejabat Hamas di Beirut pada 2 Januari

image is not available
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam Himpunan Solidariti Palestin di Stadium Axiata Arena pada 4 Ogos bagi membantah pembunuhan Ismail. Kira-kira 12,000 orang hadir perhimpunan itu

image is not available
Perdana Menteri bersama 3,000 jemaah bersembahyang jenazah ghaib di Masjid Negara. Solat diadakan selepas solat Jumaat dan dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni Foto BERNAMA

image is not available
Pemimpin tertinggi Iran Ali Khamenei mengetuai solat jenazah ke atas pemimpin Hamas Ismail di Tehran, Iran pada 1 Ogos. Republik itu menegaskan untuk bertindak balas atas pembunuhan Ismail Foto Khamenei Media X

image is not available
Serangan udara Israel di pinggir Beirut, Lubnan pada 30 Julai memusnahkan sebahagian bangunan dan kenderaan. Komando kanan Hizbullah Fuad maut dan jasadnya ditemui bawah runtuhan

image is not available
Anggota Hizbullah membawa keranda Fuad ketika pengebumian pada 1 Ogos di selatan Beirut. Beliau terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir ibu negara Lubnan

image is not available
Rakyat Palestin membawa gambar Ismail dan timbalannya Saleh semasa perarakan bagi mengutuk Israel susulan pembunuhan dua pemimpin Hamas itu di Beirut, Lubnan pada 1 Ogos

image is not available
Penunjuk perasaan menyalakan suar tanda menyokong Palestin semasa perhimpunan membantah pembunuhan ketua biro politik Hamas di Istanbul, Turkiye pada 31 Julai

image is not available
Jemaah menunaikan solat jenazah ghaib ke atas Ismail di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Ogos. Semua masjid dan surau negeri ini mengadakan solat itu

image is not available
Peserta menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dengan mengangkat sepanduk ketika berhimpun di Bukit Jalil pada 4 Ogos. Perhimpunan itu memberi mesej menentang kezaliman Israel

image is not available
Penduduk memeriksa kerosakan kepada bangunan yang diserang di kem pelarian Tulkarem, Tebing Barat pada 24 Julai. Serangan itu mengorbankan lima warga Palestin termasuk dua wanita

image is not available
Bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria diserang Israel pada 1 April. Serangan itu mengorbankan tujuh anggota tentera Iran termasuk komander elit Pasukan Quds Mohammad Reza Zahedi

image is not available
Wanita Palestin meratapi kemusnahan pengeboman di perkhemahan al-Mawasi, Gaza pada 13 Julai yang mengorbankan 90 orang. Israel mendakwa pemimpin Hamas Mohammed Deif turut terkorban